X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Bersatu tiada muslihat: Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan bahawa Bersatu tidak pernah bermuslihat dengan parti lain.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu berkata, Bersatu sentiasa memastikan negara ditadbir dengan integriti dan membela kebajikan rakyat sebaik mungkin.

Menurutnya, parti itu sentiasa teguh dengan pendirian untuk tidak mencampuri urusan mahkamah dan menghormati kedaulatan undang-undang apabila menjadi kerajaan menerusi Perikatan Nasional (PN).

“Saya rasa tak ada sesiapa persoal kejujuran dan keikhlasan Bersatu menjaga kepentingan rakyat serta kepentingan bangsa dan agama.

“Sehinggakan bila kita diasak sekalipun kita tetap tumpukan menjaga kebajikan rakyat dan kita tidak pernah bermuslihat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan UMNO memutuskan hubungan dengan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) pada Ahad.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO juga akan menentukan tempoh masa yang sesuai untuk menarik sokongan kepada kerajaan PN.

Beliau yakin jika keputusan untuk menarik sokongan itu dibuat, semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedia melepaskan jawatan masing-masing.

Dalam pada itu, Wan Saiful menyerahkan kepada rakyat untuk menjadi hakim bagi menentukan siapa jujur serta siapa prihatin terhadap nasib rakyat, dan siapa bermuslihat demi kepentingan lain.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!