X

Kindly register in order to view this article
!

'Dulu klinik kesihatan, kini jadi sarang penagih'

Azman menunjukkan bahagian depan Klinik Kesihatan Kepala Batas yang kini ditumbuhi pokok liar baru-baru ini.
A
A

JITRA - Klinik Kesihatan di Kepala Batas, Jitra yang ditutup sejak dua tahun lalu kini menjadi sarang penagih dadah dan binatang liar termasuk anjing, biawak dan ular.

Seorang penduduk, Mohamad Jaafar, 64, dari Kampung Hilir berkata, kawasan itu ditumbuhi pokok liar yang membimbangkan penduduk di sekitarnya.

Menurutnya, klinik kesihatan itu ditutup pada 1 Mei 2019 difahamkan untuk tujuan naik taraf, namun sehingga kini tidak menampakkan sebarang perkembangan berhubung projek tersebut.

"Disebabkan penutupan klinik ini, penduduk di sekitar ini terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Langgar, Alor Setar dan Klinik Kesihatan Banai, Jitra sejauh kira-kira lapan hingga 10 kilometer dari tempat tinggal mereka.

Bangunan Klinik Kesihatan Kepala Batas yang ditutup sejak Mei 2019 dilihat masih berada dalam keadaan baik.
Bangunan Klinik Kesihatan Kepala Batas yang ditutup sejak Mei 2019 dilihat masih berada dalam keadaan baik.

"Bagaimanapun, keadaan itu sudah lama dan kini menjadi sarang mat pit (penagih dadah) dan hidupan liar," katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Mohamad juga berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mempercepatkan pembinaan baharu kerana ramai pesakit yang mengalami masalah pengangkutan untuk ke Alor Setar mahupun Jitra.

"Pernah saya memaklumkan masalah ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Januari dan mereka berjanji membersihkannya pada Februari, namun belum ada sebarang kerja pembersihan dilakukan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Azman Che Ani, 55, dari Kampung Simpang Tiga Kepala Batas pula berkata, kawasan klinik tersebut turut diceroboh individu tidak bertanggungjawab dan mencuri peralatan yang diperbuat daripada besi.

Menurutnya, banyak rangka tingkap besi di klinik kesihatan tersebut termasuk pendingin hawa dicuri.

Bangunan Klinik Kesihatan Kepala Batas yang ditutup sejak Mei 2019 kini menjadi sarang penagih dadah.
Bangunan Klinik Kesihatan Kepala Batas yang ditutup sejak Mei 2019 kini menjadi sarang penagih dadah.

"Mereka mengambil wayar dan membakarnya di kawasan klinik untuk mengambil besi yang terdapat di dalam wayar tersebut. Pernah berlaku kebakaran di sini sehingga perlu mendapat bantun bomba," katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Bukit Tinggi, Ahmad Tarmizi Abdul Aziz ketika ditemui media berkata, pihaknya sudah menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai masalah tersebut.

Jelasnya, pejabatnya akan memaklumkan kepada pihak berkaitan secepat mungkin bagi mengatasi masalah itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!