X

Kindly register in order to view this article
!

Senario politik Sabah berbeza dengan Semenanjung: Bung Moktar

Bung Moktar bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir ke PAU di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
A
A

KOTA KINABALU - Senario politik di Sabah berbeza dengan semenanjung dan UMNO Sabah akan memastikan krisis politik yang berlaku di semenanjung tidak berlaku di negeri ini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, walaupun di semenanjung UMNO telah memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga pilihan raya tetapi di Sabah kita kena membuat formula baharu untuk bersama dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Insya-ALLAH kita akan pastikan ia (krisis politik) tidak akan berlaku di Sabah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Kuala Lumpur pada Ahad.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, UMNO Sabah harus bersoladiriti dengan GRS bagi memastikan janji dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dapat ditunaikan kepada rakyat.

"Mandat rakyat yang diberikan kepada kita untuk menjadi kerajaan akan diguna pakai bagi membangunkan Sabah kerana ketika negeri ini begitu ketinggalan ditambah pula ancaman Covid-19 menyebabkan banyak syarikat, usahawan, sektor perhotelan serta pelancongan tutup dan gulung tikar.

"Jadi menjadi tanggungjawab kami dalam GRS untuk membangunkan negeri Sabah sekali gus memperkasakan politik Sabah," katanya.

Mengulas berhubung ucapan dasar yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam PAU, Bung Moktar yang juga ahli Majlis KerjaTertinggi (MKT) UMNO berkata, ucapan itu lebih menjurus kepada memperkasakan UMNO.

"Pada saya mewakili UMNO Sabah, kita sedar UMNO dalam keadaan yang tidak begitu stabil ekoran kekalahan lalu telah membawa perubahan sedikit kepada UMNO.

"Sebab itu, perlu pemimpin di semua peringkat termasuk ahli di akar umbi UMNO memperkasakan parti, mengubah strategi baharu untuk memenangi hati rakyat, dengan adanya strategi baharu ini, saya lihat maka UMNO akan kembali melebarkan kekuasaannya sekali gus menjadi parti dominan untuk memenangi PRU akan datang, " katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!