Aksi Messi, Ronaldo di benua Amerika
KEHADIRAN bintang Argentina/Barcelona Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo (Portugal/Juventus) bakal menjadikan gabungan Liga Bola Sepak Profesional Mexico (Liga MX) dan Liga Bola Sepak Amerika (MLS) sebagai antara liga bola sepak terbaik di dunia.
Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Liga Bola Sepak Profesional Mexico (Liga MX), Mikel Arriola yang berharap kehadiran kedua-dua bintang berkenaan menjadi kenyataan setelah Piala Dunia 2026 kelak yang dianjurkan bersama oleh Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada.
Menurut Arriola, perbincangan berhubung perkara berkenaan telah pun dibuat dan kehadiran kedua-dua pemain dilihat selaras dengan perkembangan liga berkenaan hari ini.
“Kita menjangkakan untuk membawa Ronaldo dan Messi sama ada bagi saingan Liga MX atau MLS setelah saingan Piala Dunia 2026 kelak.
“Mungkin juga pada ketika itu kedua-duanya berada pada fasa terakhir kerjaya mereka sebagai pemain bola sepak tetapi kita yakin kehadiran mereka mampu menaikkan imej liga bola sepak di benua ini,” katanya.
Kehadiran kedua-dua pemain berkenaan dalam saingan liga bola sepak di benua Amerika itu mula hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini apabila Messi pernah menyuarakan keinginan untuk beraksi di MLS manakala Ronaldo pula dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Miami.
Apatah lagi, masa depan kedua-dua pemain berkenaan bersama kelab masing-masing dilihat masih belum terjamin apabila kontrak Messi dilaporkan sudah memasuki bulan terakhir manakala kontrak Ronaldo bersama Juventus bakal berakhir pada 2022.
Sementara itu Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menyifatkan perancangan untuk membawa kedua-dua pemain berkenaan sebagai satu ‘plan besar’ dalam usaha meningkatkan imej liga bola sepak di benua Amerika.
Katanya, walaupun penggabungan Liga MX dan MLS dilihat masih ‘jauh’ untuk dilaksanakan, namun kehadiran kedua-dua pemain berkenaan bakal memberikan impak.
“Sudah tentu, dengan kehadiran Messi dan Ronaldo akan menjadikan perkembangannya lebih hebat sebagai salah satu liga bola sepak terbaik di dunia.
“Oleh itu, saya melihat potensi untuk bola sepak berkembang di Amerika Syarikat dan juga Mexico pada masa hadapan,” katanya.