Milo Sayang Bumi ajak masyarakat pelihara kelestarian alam sekitar

Su Yen (dua dari kanan) dan Aranols (dua dari kiri) ketika majlis pelancaran Milo Sayang Bumi secara maya pada Jumaat.
Su Yen (dua dari kanan) dan Aranols (dua dari kiri) ketika majlis pelancaran Milo Sayang Bumi secara maya pada Jumaat.
A
A
A

MILO mengorak langkah pertama ke arah kelestarian alam sekitar menerusi pelancaran Milo Sayang Bumi bagi menerapkan amalan dan inovasi produk serta proses yang mesra alam demi kebaikan bumi.

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan Milo, Nestle (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen berkata, Milo membekalkan tenaga berkhasiat kepada jutaan rakyat Malaysia setiap hari yang mampu menginspirasi mereka sebagai juara untuk bertindak demi kelestarian bumi.

“Sebagai jenama yang dekat di hati rakyat, kami ingin memainkan peranan dalam menyatukan juara-juara kami terhadap komitmen kelestarian bumi menerusi Milo Sayang Bumi.

“Kempen ini menumpukan fokus ke atas tiga matlamat impak iaitu mengurangkan sisa plastik di tapak pelupusan dan saluran air, mengurangkan pengeluaran plastik serta menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya selepas majlis pelancaran secara maya Milo Sayang Bumi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Berhad, Juan Aranols pada Jumaat.

Su Yen berkata, Milo turut melancarkan enam inisiatif iaitu menerusi projek CAREton, kempen kitar semula karton minuman terpakai oleh Milo UHT menerusi kerjasama dengan Tetra Pak sejak 2012 yang mengubah pek minuman kepada jubin bumbung serta papan panel ‘hijau’ bagi komuniti yang memerlukan dan usaha pengenalan 100 peratus penyedut minuman kertas untuk keseluruhan rangkaian Milo UHT pada tahun 2020 yang akan menjimatkan sehingga 200 juta penyedut minuman plastik setiap tahun.

“Selain itu, usaha berterusan Milo untuk mengumpulkan kembali bungkusan jenama itu yang terpakai daripada pengguna bagi mengelak sisa plastik berakhir di tapak pelupusan dan saluran air termasuk Milo Stik Pek X-Change dilancarkan baru-baru ini.

“Inisiatif ini turut mengguna semula (upcycling) bungkusan-bungkusan tersebut bagi menghasilkan kraf tangan Milo yang unik menerusi kerjasama dengan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif lain adalah melalui Nestle Malaysia yang pertama seumpamanya akan menggantikan bungkusan luaran produk Milo ‘less sugar’ dengan bungkusan kertas yang boleh dikitar semula.

Artikel Berkaitan:

“Ia peralihan kepada 100 peratus cawan kertas, lengkap dengan usaha mendidik murid tentang kepentingan pengasingan sisa dan transformasi van Milo ikonik dengan panel solar yang menukarkan tenaga solar kepada tenaga elektrik untuk menggantikan penjana yang bergantung pada bahan api.

“Setiap inisiatif ini akan dilengkapkan dengan usaha mendidik dan menggalakkan pengguna untuk menerapkan amalan positif demi kelestarian alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Aranols berkata, Nestle kini mempergiatkan tindakan pada peringkat global dan Malaysia ke atas komitmennya untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 serta memastikan semua bungkusannya dapat diguna semula atau dikitar semula menjelang 2025.

“Di Malaysia, kami memacu usaha kelestarian alam sekitar menerusi pelbagai inisiatif dan berazam untuk terus memimpin usaha industri ke arah masa depan yang lebih hijau.

“Kami bangga kerana salah satu jenama terbesar Nestle iaitu Milo kini menjadi teraju utama perjuangan kelestarian alam sekitar,” kata beliau.