Wang lesap selepas klik pautan palsu bank

Muhammad Yazid
Muhammad Yazid
A
A
A

SHAH ALAM - Gara-gara mempercayai mesej mengatakan akaun peribadi berisiko terdedah kepada individu lain, dua individu terpaksa berputih mata selepas wang mereka dalam akaun lesap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, laporan kejadian itu dibuat mangsa masing-masing pada Ahad dan Rabu lalu.

Menurutnya, mangsa mendakwa telah menerima pautan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dari sebuah bank yang mengatakan akaun mangsa berisiko tinggi untuk terdedah kepada pihak ketiga.

"Mangsa kemudian telah menekan pautan palsu https://pbebankonline.com dan telah mengikut arahan di dalam pautan terbabit untuk memasukkan data peribadi, maklumat perbankan dalam talian berserta kata laluan.

"Setelah mangsa membuat semakan ke atas akaun miliknya didapati wang telah lesap," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa pertama kerugian RM17,000 dan mangsa kedua rugi RM16,500.

Katanya, setakat ini terdapat dua kes sedemikian dilaporkan berlaku di Selangor membabitkan kerugian RM33,500.

Justeru, orang ramai dinasihati agar tidak menekan pautan bank sedemikian kerana ia dipercayai adalah modus operandi baharu oleh pihak scammer untuk menipu mangsa.

Artikel Berkaitan: