Jepun import lebih 500,000 tan minyak sawit Malaysia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jepun mengimport 433,022 tan minyak sawit Malaysia pada 2020 serta 77,053 tan semasa Januari dan Februari tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Malaysia sudah mula mengeksport minyak sawit yang memiliki pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) ke Jepun.

"Pada masa ini, permintaan terhadap minyak sawit MSPO dari Jepun semakin bertambah," katanya dalam kolum Thoughts di www.bernama.com/en/thoughts.

Beliau berkata kejayaan terbesar adalah apabila skim MSPO menerima pengiktirafan daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 sebagai salah satu kod penyumberan perolehan minyak sawit mampan bagi acara itu, yang akhirnya ditangguhkan ke 2021.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 (TOC) akan meletakkan kelestarian sebagai keutamaan dalam persiapan dan operasi sukan Tokyo 2020.

"TOC akan berusaha untuk mengembangkan inisiatif yang serupa dengan kod penyumberan ini dan meraih pengiktirafan awam yang meluas mengenai kepentingan kelestarian bagi mewujudkan masyarakat yang mengamalkan penggunaan dan pengeluaran yang mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari," katanya.

TOC juga secara terbuka mengumumkan, Laporan Kemampanan Pra-Olimpik April 2020 di laman web rasminya yang melaporkan status terkini pensijilan MSPO, Minyak Sawit Mampan Indonesia (ISPO) dan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Daripada tiga pensijilan minyak sawit mampan itu, hanya MSPO dan usaha kerajaan Malaysia dalam membantu pekebun kecil telah mendapat perhatian TOC untuk dijadikan kajian kes dalam laporan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama antara MPOB dan TOC ini telah berjaya meningkatkan imej minyak sawit Malaysia serta MSPO di pentas sukan antarabangsa yang terbesar di dunia," katanya.

Sementara itu beliau berkata MPOB dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) juga telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pengimport dan Pengeksport Minyak dan Lemak Jepun (JOFIEA) untuk menyelaras Skim Pengesahan Mudah MSPO.

JOFIEA, bagi pihak Jepun, memperoleh minyak sawit yang disahkan MSPO untuk kegunaan di Tokyo 2020.

"Skim ini juga akan menjadi penanda aras dan rujukan bagi kerajaan Jepun untuk mengguna pakai MSPO dalam perolehan minyak sawit pada masa akan datang iaitu selepas Tokyo 2020," tambah Ahmad Parveez. - Bernama