'PRU tidak boleh diadakan selagi Undi 18 tidak dilaksanakan'

Nelson W Angang
Nelson W Angang
A
A
A

KOTA KINABALU - Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun ini tidak boleh diadakan selagi kelayakan mengundi bagi warganegara berusia 18 tahun tidak dilaksanakan.

Setiausaha Agung Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Nelson W Angang berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh memohon kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Dewan Rakyat selagi Undi 18 tidak dilaksanakan.

"Perkara 19(1)(a) Perlembagaan Persekutuan telah pun diwartakan bagi membenarkan rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi.

"Saya percaya pihak berkuasa yang berkenaan akan menggunakan alasan Seksyen 1(2) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang mana menyatakan bahawa Seksyen 3 akta ini hanya akan mula berkuatkuasa pada tarikh ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan di dalam Warta.

"Seksyen 3 akta sama menyatakan bahawa pindaan terhadap umur bagi warganegara yang layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis bahawa pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Nelson berkata, dari segi undang-undang pihak SPR dilihat dapat berbuat sedemikian berdasarkan kepada peruntukan di bawah Seksyen 1(2) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.

"Bagaimanapun, pandangan saya bahawa prerogatif yang dimaksudkan di bawah Seksyen 1(2) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 mestilah digunakan atau dilaksanakan sebelum tamat tempoh penuh sidang Parlimen sekarang atau sebelum PRU dipanggil.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah kerana prerogatif yang dimaksudkan seharusnya tidak berniat untuk tidak mempunyai suatu tempoh masa khusus kerana Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diendahkan," katanya.

Tambah Nelson, pihak SPR juga ada menyatakan bahawa cuma terdapat seramai 1.2 juta di kalangan mereka yang berusia 18 sehingga 20 tahun.

"Ini memberikan gambaran seolah-olah adalah jumlah yang tidak besar atau tidak signifikan. Perlu ditekankan bahawa jangan hanya dilihat dari segi berapa jumlah di kalangan kategori ini tetapi yang perlu dihargai adalah terhadap hak Perlembagaan mereka yang akan terhalang jika PRU dibuat sebelum terlaksananya Undi 18," katanya.

Beliau berkata lagi, mungkin bagi pihak SPR ia jumlah yang kecil namun dengan jumlah itu juga boleh memberi impak yang besar terhadap keputusan PRU.

"Seperti yang dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia, dalam kerajaan Persekutuan sekarang ini, dengan hanya sokongan daripada seorang ahli Parlimen boleh memberikan kesan besar terhadap legitimasi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Oleh itu, ia satu kesilapan untuk memperkecilkan kesan dan impak dalam melaksanakan Undi 18," katanya.

Sehubungan itu, Nelson mengingatkan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin perlu bersiap sedia terhadap kemungkinan negara menghadapi krisis Perlembagaan dan ketidakstabilan lebih serius jika PRU diadakan pada tahun ini tanpa melaksanakan Undi 18.