X

Kindly register in order to view this article
!

Perdagangan dunia terjejas kerana sebuah kapal

Kapal kontena syarikat Evergreen merintangi Terusan Suez di Mesir akibat ribut pasir yang berlaku pada Selasa lalu.
A
A

TERUSAN Suez yang menghubungkan laluan dari Laut Mediterranean ke Laut Merah sepanjang 193.30 kilometer (km) dan sedalam 25 meter menjadi perhatian antarabangsa setelah sebuah kapal kontena Ever Given menghalang laluan perdagangan dunia sejak pagi Selasa lalu.

Kerja-kerja bagi mengalihkan kapal itu kemudian bermula selepas Ever Given sepanjang 400 meter iaitu lebih panjang dari Menara Eiffel di Paris, Perancis dan selebar 59 meter merintangi terusan tersebut disebabkan oleh fenomena alam iaitu ribut debu.

Terusan itu yang dibuka untuk laluan perkapalan pada 17 November 1869 kini menjadi milik kerajaan Mesir selepas ia dijadikan pemilikan sebuah negara semasa pemerintahan Presiden Gamal Abdel Nasser.

Sebelum itu, terusan tersebut menjadi milik bersama Syarikat Terusan Suez yang dikawal oleh Perancis dan Britain dan kini antara sumber pendapatan utama kerajaan Mesir kerana kapal-kapal belayar melaluinya perlu membayar tol.

Ketika dibuka lebih 150 tahun lalu, ia hanya sepanjang 164km dan lebar lapan meter tetapi kerja-kerja mendalamkan dan melebarkan terusan itu menyebabkan ia menjadi sepanjang 193.30km serta sedalam 25 meter.

Kerja-kerja bagi membinanya bermula apabila bekas konsol Perancis ke Kaherah, Ferdinand de Lesseps mencapai persetujuan dengan seorang gabenor empayar Uthmaniyyah bagi membina sebuah terusan sepanjang 160.93km pada tahun 1854.

Sepasukan jurutera kemudian merangka pelan pembinaan dan Syarikat Terusan Suez ditubuhkan pada tahun 1856 serta diberikan hak untuk mengedalikan operasi terusan tersebut selama 99 tahun selepas kerja-kerja membinanya selesai dilakukan.

Pada tahun 1975, Britain menjadi pemegang saham terbesar dalam Syarikat Terusan Suez apabila ia membeli saham terusan itu.

Terusan Suez menjadi laluan perdagangan utama antara benua Eropah, Afrika dan Asia.
Terusan Suez menjadi laluan perdagangan utama antara benua Eropah, Afrika dan Asia.

Pengendali kapal kargo itu, Evergreen Marine Corp. yang berpangkalan di Taiwan menyatakan kapal itu merentangi terusan tersebut semasa dalam pelayaran ke pelabuhan Rotterdam, Belanda sebelum disyaki terkandas akibat tiupan angin kencang.

Ini adalah kerana ribut debu telah melanda kebanyakan negara di Asia Barat pada Selasa lalu.

Kapal kargo Ever Given itu yang seberat 200,000 tan merentangi terusan tersebut turut mengakibatkan pelayaran berpuluh-puluh kapal lain terjejas.

Banyak kapal yang menghantar minyak mentah yang mahu menyeberangi Lautan Atlantik ke Lautan Hindi menggunakan terusan itu bagi memendekkan pelayaran tetapi perlu membayar tol dengan harga tinggi.

Kapal kargo itu didaftarkan di Panama belayar dari China dan pernah singgah di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor dan dijadualkan tiba di Pelabuhan Rotterdam, Belanda pada 1 April ini.

Gambar satelit menunjukkan kapal kontena dikenadlikan syarikat Evergreen merentangi Terusan Suez di Mesir pada 24 Mac lalu. - Foto AFP
Gambar satelit menunjukkan kapal kontena dikenadlikan syarikat Evergreen merentangi Terusan Suez di Mesir pada 24 Mac lalu. - Foto AFP

Menurut Pihak Berkuasa Terusan Suez, hampir 19,000 kapal melalui terusan itu pada tahun lalu dengan puratanya sebanyak lebih 50 buah kapal melaluinya pada setiap hari.

Menurut AFP, terusan itu mewakili laluan perdagangan maritim dunia sebanyak 10 peratus dan portal BBC melaporkan apa yang penting ialah ia merupakan laluan untuk penghantaran minyak dan gas asli dari Asia Barat ke Eropah.

Ia juga menyebabkan harga minyak mentah Brent naik 6.1 peratus kepada AS$64.46 (RM267.28) satu tong pada Rabu lalu ekoran kapal tersebut merintangi terusan itu.

Kapal-kapal tangki dan kontena membawa apa sahaja barangan sama ada minyak mentah dan prodok-produk minyak yang sudah ditapis sehingga barang-barang elektronik serta alat mainan di terusan itu.

Mesir memperoleh kutipan sebanyak AS$5.61 bilion (RM23.36 bilion) dalam bayaran tol di terusan tersebut pada tahun 2020.

Peta menunjukkan kedudukan Terusan Suez yang kini menjadi milik Mesir.
Peta menunjukkan kedudukan Terusan Suez yang kini menjadi milik Mesir.

Pelbagai jenis barangan dilaporkan dibawa melalui terusan tersebut pada setiap tahun manakala seorang pakar sejarah maritim, Dr Sal Mercogliano dari Amerika Syarikat dilaporkan berkata kepada BBC bahawa kejadian kapal kargo itu merentangi terusan jarang berlaku tetapi ia memberi kesan besar terhadap perdagangan dunia.

Alternatif laluan perkapalan lain yang boleh digunakan ialah melalui Tanjung Harapan di selatan Afrika yang akan mengambil masa pelayaran lebih lama berbanding jika melalui terusan itu.

Menurut pakar, kerja-kerja bagi mengapungkan semula kapal itu dengan mengorek bahagian yang cetek di tebing terusan tersebut dijangka mengambil masa selama berhari-hari.

Sehingga Khamis lalu, kerja-kerja untuk mengapung semula kapal tersebut yang membawa minyak mentah dan barangan pengguna bernilai hampir AS$10 bilion (RM41.46 bilion) gagal dilakukan oleh para pekerja. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!