Jurubahasa wanita, lelaki ditahan lakukan peras ugut

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang jurubahasa wanita dan seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat jenayah pemerasan wang berjumlah RM5,000 terhadap sepasang suami isteri di sebuah kedai di Taman Bunga Raya, Masai di sini pada 17 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata,kedua-dua suspek berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Taman Desa Jaya, di sini jam 7.57 malam Selasa.

"Suspek dipercayai meminta sejumlah wang dengan mendakwa ia sebagai upah menyelesaikan kes mangsa dan suaminya.

"Pada 18 Mac lalu, mangsa wanita yang berusia 56 tahun telah dibawa seorang wanita yang dipercayainya merupakan seorang jurubahasa dan seorang lagi lelaki selepas keluar dari lokap di Balai Polis Johor Jaya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada jam 12 tengah hari untuk mengambil suami mangsa.

"Kedua-dua suspek kemudian membawa pasangan suami isteri itu ke sebuah restoran sebelum meminta RM5,000 sebagai upah kerana membantu pasangan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, mangsa mengatakan tidak mempunyai wang namun suspek mendesak sehingga memaksa mangsa meminta anaknya memasukkan jumlah wang terbabit dalam akaun bank yang tidak dikenali.

Katanya, polis menahan kedua-dua suspek dan semakan dibuat mendapati kedua-duanya memiliki rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

Katanya, suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah dan enam rekod dadah manakala suspek wanita mempunyai tiga rekod jenayah dan lima rekod dadah.

Artikel Berkaitan:

"Soal siasat dibuat mendapati suspek lelaki mengaku menerima wang berjumlah RM5,000 dan dia turut mengaku mengarahkan suspek perempuan melakukan pemerasan terhadap mangsa. Kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam (Rabu)," katanya.