Covid-19 tidak jejas projek Glomac

Pangsapuri Servis 121 Residences menawarkan 834 unit pejabat kecil rumah kecil (SOHO) dan pangsapuri servis bermula dari RM333,000 ke atas.
Pangsapuri Servis 121 Residences menawarkan 834 unit pejabat kecil rumah kecil (SOHO) dan pangsapuri servis bermula dari RM333,000 ke atas.
A
A
A

KEKANGAN pandemik koronavirus (Covid-19) serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang Glomac Berhad (Glomac) untuk terus komited dalam menyiapkan projek pembangunan hartanah yang sedang dilaksanakan.

Ketua Pegawai Operasinya, Zulkifly Garib berkata, walaupun terpaksa berdepan cabaran tersebut di samping arahan berhenti kerja dan jadual pelaksanaan projek yang ketat, dua daripada pembinaan projek bangunan bertingkat Glomac di Petaling Jaya yang sedang berjalan iaitu Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences kini dalam proses untuk disiapkan.

“Semuanya berjalan lancar dan dari segi penyiapan sudah mendahului beberapa hari ke depan bagi kedua-dua bangunan bertingkat itu.

“Kami percaya prestasi luar biasa ini juga adalah hasil kerja keras pasukan projek Glomac dan kontraktor rakan perniagaan yang telah bekerjasama dengan tekun dan konsisten dalam mengatasi pelbagai halangan yang timbul akibat pandemik,” katanya menerusi taklimat maya di aplikasi Zoom pada Rabu.

Beliau berkata, matlamat Glomac adalah untuk memastikan setiap produk yang dibangunkan tersedia kepada pemilik rumah tepat pada masanya.

“Kami percaya semua orang terkesan dengan Covid-19 termasuk menerima impak kewangan yang berterusan.

“Oleh itu, penyerahan hartanah kepada pembeli-pembeli rumah perlu dibuat tepat pada waktunya bagi mengurangkan kekangan kewangan pembeli yang rata-ratanya merupakan pembeli rumah pertama yang sedang menunggu untuk mendiami rumah baru mereka,” katanya.

Zulkifly berkata, bagi pangsapuri servis 121 Residences ia dilancarkan pada Ogos 2019 yang terdiri daripada dua menara 32 tingkat (Menara A 445 unit dan Menara B 389 unit) yang dibangunkan atas tanah seluas 1.25 hektar (3.1 ekar) di tengah Petaling Jaya-Damansara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bangunan tinggi moden itu menawarkan 834 unit pejabat kecil rumah kecil (SOHO) 450 kaki persegi dan pangsapuri servis 750 kaki persegi bermula dari RM333,000 ke atas dan setakat ini, kadar pengambilan 121 Residences mencecah 75 peratus.

“Pembeli dapat menikmati manfaat Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan harga yang sangat berpatutan untuk pemilik rumah pertama dan profesional yang muda.

“121 Residences yang mempunyai nilai pembangunan kasar (NPK) RM327 juta itu juga mudah diakses melalui Lebuhraya Sprint, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), selain berdekatan Stesen Laluan Transit Aliran 3 (LRT3) yang bakal dibangunkan hanya 400 meter dari pembangunan tersebut,”katanya.

Sementara itu katanya, Plaza@Kelana Jaya pula yang terletak di lokasi strategik sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong, adalah sebuah pembangunan bercampur pegangan bebas berukuran 1.3 hektar dan sehingga kini telah meraih kadar pengambilan sebanyak 83 peratus.

Tambah beliau, projek yang dijangka siap pada 2022 itu merangkumi 696 unit pangsapuri servis dan SOHO, serta mempunyai 16 unit pejabat kedai tiga tingkat dengan NPK sebanyak RM347 juta.

“Harga pangsapuri servis ini bermula dari RM388,000 ke atas.

“Kedua-dua projek pembangunan ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan rekreasi termasuk sistem empat peringkat keselamatan bersama pengawasan Sistem Kamera Pengawasan Tertutup (CCTV) 24 jam, tempat parkir kereta selamat, keselamatan lobi dan akses tingkat individu yang akan memastikan anda berada dalam persekitaran yang sihat dan selamat.

“Lebih menarik, pembinaan kedua-dua projek itu turut mengambil kira penyediaan atau penambahan ruang untuk mereka yang bekerja serta belajar dari rumah ekoran normal baharu akibat pandemik,” katanya.