Semangat Syahir kembali membara

Aksi Syahir semasa mewakili KL Thunder pada saingan STL 2020.
Aksi Syahir semasa mewakili KL Thunder pada saingan STL 2020.
A
A
A

BEKAS tekong kebangsaan, Mohd Syahir Rosdi mengakui teruja dengan keputusan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk memanggilnya semula bagi menyertai skuad kebangsaan setelah digugurkan pada 2019.

Katanya, panggilan itu nyata menggembirakannya kerana sekali lagi berpeluang untuk mewakili skuad kebangsaan sekali lagi.

“Memang saya gembira dan akan menyahut panggilan daripada PSM, tetapi saya difahamkan PSM akan melakukan pemilihan melalui satu kejohanan yang akan diadakan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Keramat.

“Memang saya akan pergi ke pemilihan itu tetapi belum tentu‘dapat lagi untuk menyertai skuad kebangsaan.

“Ini kerana saya sudah lama tidak berlatih dengan sepenuhnya dan tidak tahu di manakah tahap permainan saya ketika ini, lagi pun mereka (PSM), sememangnya ada kriteria tersendiri dalam memilih seseorang pemain kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Mohd Syahir dan seorang lagi pemain kebangsaan,Muhammad Zulkifli Abd Razak digugurkan daripada skuad negara pada Jun 2019 lalu atas faktor disiplin.

Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, keputusan memanggil Mohd Syahir selepas prestasi cemerlang pemain berkenaan ketika membantu KL Thunder muncul juara saingan Liga Sepak Takraw (STL) dan Champions Cup 2020, baru-baru ini.

Katanya, prestasi Mohd Syahir dilihat cemerlang pada kedua-dua kejohanan berkenaan dan Mohd Syahir hanya melakukan dua kesilapan apabila servisnya terkeluar dan terkena jaring pada aksi final Champions Cup selain mencatat 19 servis ace.

Artikel Berkaitan:

“Dia pun ada mahu ‘masuk’ balik dan diberikan peluang, tetapi kita nak tengok juga prestasi dia dan memang dia berjaya tetapi kelajuan servisnya dilihat agak menurun kerana dulu kelajuan servisnya boleh mencapai tu 84km/j tetapi kali ini hanya sekitar 70 hingga 72km/j sahaja.

“Bila dia dah pamerkan aksi yang baik pada STL baru-baru ini, kita pun bersetuju untuk memanggil dia tetapi dia perlu ikuti kejohanan simulasi yang kita akan adakan di MSN Keramat mulai 8 hingga 10 April depan,” katanya.