X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu tunggal sekali lagi jadi mangsa scammer

Rohaizan bersama dua laporan polis yang dibuat pada 19 Mac lalu selepas butiran peribadinya digunakan scammer untuk tujuan khidmat pembantu rumah.
A
A

LIPIS - Seorang ibu tunggal kesal apabila sekali lagi menjadi mangsa scammer selepas kad pengenalan dan gambarnya digunakan bagi tujuan khidmat pembantu rumah.

Rohaizan Rozama, 41, dari Kampung Kemahang, Benta di sini sebelum ini tular kerana sanggup menunggang motosikal seorang diri lebih 200 kilometer (km) untuk menjenguk suaminya, Razali Ismail, 45, yang menerima rawatan penyakit kanser perut dan otak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 23 Disember lalu.

Rohaizan menjadi mangsa scammer menyebabkannya kerugian RM1,725 pada 26 Disember lalu.

Menurutnya, dia menerima panggilan seorang wanita yang mengaku berasal dari Seri Kembangan, Selangor pada 18 Mac lalu untuk khidmat pembantu rumah.

"Wanita itu memberitahu, seorang wanita lain bernama Azura memaklumkan saya mahu bekerja sebagai pembantu rumah selepas menggunakan kad pengenalan dan gambar saya untuk tujuan tersebut.

"Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan membuat dua laporan di Balai Polis Benta pada 19 Mac lalu kerana bimbang butiran diri terus disalahgunakan," katanya pada Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, dia juga sedih kerana sekali lagi menjadi mangsa keadaan selepas suaminya meninggal dunia pada 6 Januari lalu.

"Sekarang hanya bergantung kepada hasil pendapatan menjual pelbagai barangan secara dalam talian. Saya terkilan kerana sekali lagi menjadi mangsa.

"Memang saya akui silap kerana pernah menyerahkan butiran peribadi kepada seorang individu yang menjanjikan untuk memberikan bantuan kewangan untuk perbelanjaan perubatan arwah suami sehingga menjadi mangsa scammer sebelum ini," jelas ibu kepada dua cahaya mata berusia lapan dan empat tahun itu.

Menganggap ia satu pengajaran, Rohaizan memberitahu dia akan lebih berhati-hati selepas ini.

"Paling utama, saya dapat mencari rezeki dan menanggung dua anak dan menjaga mereka sebaik mungkin," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunggang motosikal 200km jenguk suami di hospital

'Orang tengah susah, ada pihak ambil kesempatan'


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!