Uganda tawar ganjaran salur maklumat pembunuh enam singa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAMPALA - Lembaga Hidupan Liar Uganda (UWA) pada Isnin menawarkan hadiah wang tunai untuk maklumat yang boleh membantu menahan pembunuh enam ekor singa di Taman Negara Queen Elizabeth, lapor Xinhua.

Sejumlah 10 juta shillings (kira-kira AS$2,857) ditawarkan kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat, kata Pengurus Komunikasi UWA, Bashir Hangi dalam satu kenyataan.

"Kami mendesak masyarakat bersama-sama menyokong usaha melestarikan hidupan liar dengan memberi kami maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh singa tersebut," kata Hangi.

Pada Sabtu, agensi pemuliharaan hidupan liar negara mengesahkan haiwan itu mati akibat keracunan.

Ini bukan kejadian pertama singa diracun. Pada 2018, kira-kira 11 singa mati di taman sama selepas diracun penduduk setempat kerana haiwan itu membunuh ternakan mereka.

Menurut pegawai, sebelum kematian 11 singa pada 2018, Uganda dianggarkan mempunyai 400 singa dengan 100 daripadanya tinggal di Taman Negara Queen Elizabeth.

Singa adalah daya tarikan pelancongan utama di Taman Negara Uganda, manakala sektor pelancongan pula menghasilkan pertukaran asing tertinggi menyumbang hampir 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Setiap tahun, negara Afrika timur memperoleh AS$1.6 bilion dari sektor pelancongan alam sekitar. Bernama

Artikel Berkaitan: