Agong kurnia 143 darjah kebesaran, bintang dan pingat

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2021 sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara pada Selasa. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2021 sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat kepada 143 individu bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2021 di Istana Negara pada Selasa.

Mendahului senarai penerima istiadat sesi pertama, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Turut menerima darjah SUMW ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selain itu, 15 individu dianugerahkan Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri termasuk Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Suhaime Mahbar, Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan turut menerima darjah kebesaran SMW.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Radzi antara 41 penerima darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Penerima PMW lain termasuk Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju dan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin.

Selain itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup juga antara penerima PMW.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz dan penggiat seni serta budaya, Datuk Habsah Hassan turut menerima darjah PMW.

Pada istiadat itu, seramai 21 individu dianugerahkan Darjah Johan Mahkota Wilayah (JMW), 26 orang menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 11 individu dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 27 orang penerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Hadir sama pada istiadat itu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Bernama