Bantah teater berbaur lucah di Pulau Pinang

Mohamed Hafiz (tengah) bersama beberapa anggota NGO Islam lain berkumpul di hadapan Stage 2, Penangpac bagi membantah penayangan teater Love In Georgetown City tadi.
Mohamed Hafiz (tengah) bersama beberapa anggota NGO Islam lain berkumpul di hadapan Stage 2, Penangpac bagi membantah penayangan teater Love In Georgetown City tadi.
A
A
A

GEORGETOWN- Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Islam berkumpul di hadapan Stage 2, Penangpac, Straits Quay bagi membantah penayangan teater kontroversi, 'Love In Georgetown City' tadi.

Pengerusi Jaringan Muslim Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, pengarah dan penulis teater, Fa Abdul telah berselindung di sebalik seni untuk mempersembahkan teater yang didakwa berbaur lucah kepada orang awam.

Menurutnya, penayangan teater itu juga disifatkan sebagai tidak menghormati Perlembagaan kerana menggalakkan amalan seks bebas dan songsang di kalangan golongan muda.

"Produksi Fa Abdul dan Penangpac ini dilihat berselindung di sebalik seni untuk menyampaikan amalan seks bebas ini. Ia sengaja dibuat berbentuk seni seperti ini agar orang Islam terima seks bebas dan songsang yang ingin mereka sampaikan.

"Tindakan ini amat biadab kerana mereka langsung tidak menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan. Mereka hanya menukar nama teater namun kandungannya tetap sama. Itu pun setelah kami membuat laporan polis. Jelas, ia seperti mahu mempersendakan perjuangan kami," katanya kepada media di sini.

ARTIKEL BERKAITAN Tukar tajuk tak jamin apa-apa

Tambahnya, beliau yakin, ada pihak tertentu yang berada di belakang Penangpac sehingga produksi tersebut berani mementaskan teater yang didakwa berunsurkan seks.

"Fa Abdul dan Penangpac begitu berani dengan membuat pementasan ini kerana kami yakin, ada 'orang besar' yang sedang melindungi mereka. Lebih menghairankan, mengapa pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) dan Mufti Pulau Pinang langsung tidak bertindak dengan isu ini.

"Mana Exco Agama? Mengapa berdiam diri? Isu ini melibatkan orang Islam. Kami kecewa dengan pihak-pihak ini yang dilihat langsung tidak bertindak, malah tiada kenyataan rasmi oleh mereka," katanya.

Terdahulu, syarikat produksi teater, Big Nose Production menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap teater bertajuk 'Love in Georgetown City' sebagai filem lucah yang akan mula ditayangkan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Fa Abdul berkata, banyak pihak yang menyerang pementasan teater arahannya itu dengan menuduh dengan pelbagai tohmahan yang tidak betul.

Beliau turut membuat laporan polis Selasa lalu selepas mengetahui ada pihak yang akan membuat protes di Penangpac pada hari pertama pementasan teater tersebut.

Sebelum itu, Fa Abdul telah memohon maaf kepada semua pihak selepas menyedari berlaku salah faham berhubung tajuk teater arahannya, 'Sex In Georgetown City'.

Menurutnya, dia tidak berniat untuk menyinggung sensitiviti agama dan budaya namun menegaskan, dalam industri kreatif, insiden seperti memilih tajuk berkenaan tidak dapat dielakkan.

Sehubungan itu, dia telah menukar tajuk teater itu kepada 'Love in Georgetown City'.

Teater berkenaan akan ditayangkan selama tiga hari bermula hari ini hingga 17 Februari.