X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan sentiasa konsisten perjelas hutang negara: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa konsisten sama ada di Parlimen ataupun kepada pihak media semasa menerangkan hutang negara bahawa ia merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB), kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kerajaan juga sentiasa telus mengenai hal ini dalam Laporan Tinjauan Fiskal.

“Terdapat banyak persoalan mengenai hutang negara baru-baru ini, termasuk bagaimana ia didefinisikan serta bagaimana ia telah bertambah dan sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan had hutang negara memandangkan kerajaan telah melancarkan pelbagai pakej rangsangan tahun lepas.

“Hutang kerajaan Persekutuan merangkumi segala jenis hutang sama ada dalam atau luar negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tengku Zafrul menegaskan, had setiap jenis hutang di bawah lunas undang-undang masih dipatuhi bagi memastikan disiplin dalam pengurusan fiskal negara.

Menurutnya, langkah-langkah ini telah dijelaskan dan diterima oleh agensi-agensi penilaian antarabangsa dan para penganalisis.

Menjelas lanjut, beliau berkata, hutang dalam negara tertakluk kepada Akta Pinjaman (Tempatan) 1959, Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946. Akta-akta ini meliputi MGS, MGII dan MITB serta Bil-bil Perbendaharaan (MTB).

Di luar akta ini, hutang dalam negara turut melibatkan Sukuk Perumahan Kerajaan kerana sebelum 2016, pinjaman perumahan awam masih dianggap sebagai hutang negara, lebih kurang 3 peratus daripada keseluruhan hutang Kerajaan.

Sejak 2016, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah ditubuhkan dan bertanggungjawab menguruskan urusan membiayai pinjaman perumahan bagi penjawat awam.

Sementara itu, hutang luar negara atau pinjaman pesisir luar adalah untuk projek seperti pinjaman daripada Japan International Cooperation Agency (JICA) atau Bank Pembangunan Islam (IDB) dan pinjaman pasaran (seperti sukuk global atau Bon Samurai).

Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 turut menetapkan had sebanyak RM35 bilion sahaja dan had ini sentiasa dipatuhi.

Tengku Zafrul berkata apabila Kementerian Kewangan melaporkan hutang negara adalah sebanyak RM820.7 bilion atau 58.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setakat hujung 2020, dan menjangkakan hutang akan mencecah 58.8 peratus pada 2021, ia adalah merujuk kepada MGS, MGII dan MITB (seperti yang ditakrif dan diperuntukkan di bawah Akta Covid-19).

Apabila mengambil kira pinjaman pesisir luar dan pinjaman-pinjaman lain, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM879.6 bilion atau 62.2 peratus daripada KDNK

“Sebelum Covid-19, had hutang kendiri sebanyak 55 peratus telah diguna pakai bagi hutang domestik dan luar negara tetapi apabila negara dilanda Covid-19, dasar fiskal yang lebih fleksibel diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup.

“Oleh yang demikian, had bagi MGS, MGII dan MITB telah diubah kepada 60 peratus dan diluluskan di Parlimen melalui Rang Undang-undang (RUU) Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, Akta ini diluluskan dengan sokongan hampir semua Ahli Parlimen pada masa itu. Ini telah membolehkan pihak kerajaan menyalurkan bantuan secara langsung kepada golongan B40 dan PKS Mikro, menyelamatkan pekerjaan melalui subsidi upah dan menyokong perniagaan-perniagaan untuk terus beroperasi.

Pada masa yang sama, siling hutang yang lebih tinggi turut membenarkan kerajaan untuk sentiasa bersedia terutama sekali di dalam memberi bantuan tambahan kepada rakyat yang masih terkesan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!