Kontraktor projek jajaran laluan SDE diberi notis batal kontrak

Mohd Solihan (tengah) berbincang bersama Pengarah Pembinaan Pasukan PPIC dan Khas Jalan, Ir Hasmi Ahmad (kiri) dan Jurutera JKR Daerah Kota Tinggi, Normansah Bokhari (kanan) ketika membuat lawatan di Tapak Projek Pembinaan Directional Ramp Persimpangan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) di Plaza Tol Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Isnin. - Foto Bernama
Mohd Solihan (tengah) berbincang bersama Pengarah Pembinaan Pasukan PPIC dan Khas Jalan, Ir Hasmi Ahmad (kiri) dan Jurutera JKR Daerah Kota Tinggi, Normansah Bokhari (kanan) ketika membuat lawatan di Tapak Projek Pembinaan Directional Ramp Persimpangan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) di Plaza Tol Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan negeri Johor telah mengeluarkan notis pembatalan kontrak kepada kontraktor yang mengendalikan projek jajaran laluan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) ke Bandar Penawar bernilai RM79 juta pada Isnin, kerana lewat memasuki tapak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, kontraktor berkenaan dijadualkan memasuki tapak projek itu pada 6 Januari lepas, namun gagal berbuat demikian hingga kini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kontraktor tersebut diberi tempoh masa selama dua minggu untuk membalas notis berkenaan dan sekiranya jawapan yang diberikan tidak meyakinkan selain tiada alasan kukuh, kerajaan negeri akan membatalkan kontrak mereka.

“Hal ini kerana, kita dapati kontraktor ini bukan sahaja belum ambil tapak, malah polisi insurans juga baru mula dibeli dua hari lepas. Selain itu, bon pelaksanaan, surat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), carta organisasi tapak dan program kerja tidak dibuat selepas tarikh milik tapak,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek berkenaan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, tindakan kontraktor berkenaan akan mengakibatkan projek yang mengambil masa selama empat tahun itu tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan selain akan menggagalkan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan berkenaan.

“Ini satu contoh tidak menepati etika kontraktor yang bagus...ekoran daripada ini, ia akan mengakibatkan projek tertangguh,” katanya.

Menurutnya, selain jajaran daripada laluan Lebuhraya SDE ke Bandar Penawar sepanjang 1,546 meter itu, projek berkenaan turut melibatkan pembesaran laluan Bandar Penawar ke Kota Tinggi.

Mohd Solihan berkata, projek itu penting antaranya bagi mengatasi kesesakan di lebuh raya berkenaan terutama ketika sambutan perayaan.

Artikel Berkaitan:

"Kontraktor perlu tahu bahawa masuk tapak itu memang wajib...kerja kena tepat masa jadi duit rakyat tidak membazir dan tidak mengganggu kerja pegawai-pegawai terlibat," tambahnya lagi. - Bernama