Tiada isu pengkaji arkeologi Sungai Batu dihalau

Kedudukan kontena kumpulan penyelidik di Tapak Arkeologi, Tamadun Awal Asia Tenggara, Sungai Batu yang didakwa mengganggu 'jalan kampung' seperti dakwaan di media sosial. (Gambar kecil: Nor Azrina Surip)
Kedudukan kontena kumpulan penyelidik di Tapak Arkeologi, Tamadun Awal Asia Tenggara, Sungai Batu yang didakwa mengganggu 'jalan kampung' seperti dakwaan di media sosial. (Gambar kecil: Nor Azrina Surip)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Ketegangan akibat isu yang tular di media sosial mengenai Tapak Tamadun Awal Asia Tenggara di Sungai Batu, Merbok sebenarnya tidak seperti yang digambarkan.

Ahli Parlimen Mebok, Nor Azrina Surip berkata, tinjauan ke lokasi terbabit Khamis lalu menjawab persoalan yang kini hangat diperkatakan.

Menurutnya, tiada sebarang perbalahan atau pengusiran berlaku namun pembinaan jalan yang didakwa bakal dibangunkan masih dalam peringkat cadangan.

"Sejak tular isu Sungai Batu gara-gara keputusan kerajaan negeri Kedah ingin membina jalan sebagai laluan penduduk kampung berdekatan tapak arkeologi mengundang pelbagai persepsi dan menerjah fakta tersembunyi.

"Saya berkesempatan bertemu penyelidik yang dikhabarkan seolah-olah dihalau walhal ia tidak seperti yang digambarkan," katanya.

Menurut beliau, penyelidik merupakan tulang belakang dan hero tidak didendang mengangkat tapak arkeologi itu sehingga penemuan penting membuktikan kepada dunia bahawa Sungai Batu merupakan Tamadun Terawal Asia Tenggara berbanding Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja.

"Seramai 12 pelajar peringkat Master dan lima di peringkat Doktor Falsafah (PhD) berjaya dilahirkan melalui kajian penyelidikan mereka di tapak arkeologi ini manakala masih terdapat beberapa orang lagi sedang aktif menyiapkan tesis di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

"Ini merupakan sumbangan terbesar pendidikan melalui penyelidikan mencerakinkan fakta sejarah yang amat berharga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Azrina berkata, bagi memastikan keadilan mengenai berita yang tular, beliau sudah mengunjungi setiap rumah penduduk berdekatan tapak arkeologi tersebut bertanyakan khabar dan pandangan.

Difahamkan, terdapat 11 buah rumah termasuk dua yang sedang dalam pembinaan dan kebanyakannya dihuni oleh ahli keluarga terdekat yang menduduki penempatan tersebut lebih tiga dekad yang lalu.

Katanya, secara jelas kedudukan pagar sempadan antara penduduk dan kontena penyelidik berada di atas tanah kerajaan negeri.

"Terdapat sebatang jalan menghubungkan penduduk dengan jalan raya utama yang melalui tapak warisan tersebut. Mereka bukan sahaja berkongsi pagar yang sama malah pintu keluar masuk.

"Difahamkan, isu tidak puas hati timbul di media sosial apabila ada cadangan mengalihkan jalan tersebut keluar dari tapak warisan dan dibina baru di atas tanah kerajaan negeri sebagai langkah memelihara tapak warisan daripada sebarang gangguan," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, kontena yang berada di situ sejak tahun 2018 perlu dipindahkan jika cadangan pembinaan jalan menjadi kenyataan.

"Melihat dilema ini perlu keputusan 'win-win situation', sebenarnya telah ada sebatang jalan yang telah diusahakan oleh penduduk kampung tetapi masih belum siap sepenuhnya," katanya.

Nor Azrina turut mencadangkan jalan berkenaan boleh dijadikan alternatif penyelesaian dilema antara penduduk kampung dan tapak arkeologi bagi memelihara tapak tamadun terawal dari sebarang gangguan.

"Kerajaan negeri boleh mendapatkan pandangan dan mengadakan perbincangan konstruktif dengan penduduk kerana penglibatan mereka amat penting dalam membuat keputusan yang melibatkan impak sosial dalam jangka masa panjang," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan beberapa isu timbul akibat ketidakpuasan hati terhadap tindakan mengalihkan kontena bagi memberi laluan kepada pembinaan 'laluan haram' seperti yang tular di media sosial.

Sebelum ini tular di media sosial bahawa Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor telah meluluskan pembinaan 'laluan haram' terbabit sehingga mengganggu tugas kumpulan penyelidikan di tapak arkeologi.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi sebelum ini menjelaskan, kontena yang digunakan pengkaji untuk menempatkan peralatan kajian dan ruang pameran terletak di atas tapak jalan baharu yang dicadangkan dibina bagi kemudahan penduduk.

“Tanah itu milik kerajaan negeri tetapi jalan belum dibina, untuk selesaikan masalah ini, kerajaan negeri telah berunding dengan kumpulan pengkaji dan terdapat dua penyelesaian, sama ada kontena dipindahkan ke dalam tapak warisan yang disahkan tiada artifak di bawahnya atau jalan dilencongkan jika kontena tidak dialihkan supaya tidak ganggu pengkaji,” katanya.

Menurutnya, dakwaan kerajaan negeri tidak peka dengan tapak warisan dan mahu menghapuskan sejarah sama sekali tidak berasas.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedah tangani isu ceroboh tapak warisan

Tapak warisan: Penempatan penduduk, maahad tahfiz tidak dipindahkan