Zii Jia sandaran buat negara raih pingat emas Sukan Olimpik Tokyo

Reezal Merican menunjukkan keratan akhbar Sinar Harian yang memaparkan kejayaan Zii Jia yang melakarkan sejarah tersendiri selepas muncul juara kejohanan All England 2021 di Birmingham, England pada Ahad. - Foto Bernama
Reezal Merican menunjukkan keratan akhbar Sinar Harian yang memaparkan kejayaan Zii Jia yang melakarkan sejarah tersendiri selepas muncul juara kejohanan All England 2021 di Birmingham, England pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang merupakan juara Kejohanan All England 2021 menjadi sandaran buat negara meraih pingat emas Sukan Olimpik akan datang di Tokyo, Jepun.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kemenangan Zii Jia yang berusia 22 tahun dalam kejohanan itu pada Ahad menunjukkan beliau mempunyai prestasi yang mengagumkan dengan semangat juang yang tinggi.

"Walaupun masih terlalu awal untuk menyatakan Zii Jia berada pada laluan tepat untuk memenangi Sukan Olimpik tetapi dengan persiapan itu beliau boleh menjadi sandaran utama negara selain kita juga mempunyai atlet terjun dan berbasikal (untuk menang di Olimpik).

"Apa yang penting ketika ini adalah Zii Jia perlu memastikan prestasinya sentiasa konsisten dan menjaga kecergasan serta mengelak mengalami kecederaan. Kejayaan dalam kejohanan (All England) itu meletakkan penanda aras yang tinggi kepada beliau malah Zii Jia mempunyai semangat juang yang tinggi, bertanding hingga ke titisan akhir iaitu sehingga mata ke-30.

"Kejayaan beliau semalam diraikan seluruh rakyat Malaysia dan beliau merupakan pertaruhan dan harapan penting negara pada Olimpik akan datang malah prestasi ditunjukkan Zii Jia juga mendapat liputan seluruh dunia, sekarang pemain badminton dunia dapat isyarat mereka kena lihat pencabar baharu (Zii Jia)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Pulau Pinang di Georgetown pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Lee Zii Jia juara Seluruh England, tewaskan Viktor Axelsen

Zii Jia wira negara: PM

Reezal Merican berkata, beliau secara peribadi melihat prestasi Zii Jia sedang meningkat naik dan seperkara yang diperhatikannya terhadap Zii Jia adalah kebangkitan pemain berkenaan sukar dihentikan apabila berada pada kemuncaknya.

Artikel Berkaitan:

"Mudah-mudahan kita dapat menyaksikan kebangkitan Zii Jia ini membawa sehingga ke tahap semasa beliau beraksi di Sukan Olimpik nanti," katanya.

Katanya, kemenangan Zii Jia juga telah membuka mata dunia yang beliau merupakan pemain yang bakal menempatkan diri lebih tinggi di persada antarabangsa malah prestasi yang ditunjukkannya pada Kejohanan All England itu memberi isyarat kepada pemain badminton dunia lain berkenaan kewujudannya.

Menurutnya beliau sempat berhubung dengan Zii Jia selepas menewaskan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada peringkat suku akhir dan beliau turut memberi kata-kata semangat serta nasihat kepada Zii Jia supaya fokus dengan memusatkan segala usaha untuk berjaya sehingga ke perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana keberanian BAM mempertaruhkan pelapis muda terutama pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menunjukkan negara tidak ketandusan pemain yang boleh memberi saingan sengit di peringkat lebih tinggi bukan hanya di Sukan Olimpik, malah Piala Thomas dan Piala Sudirman.

"Tindakan berani BAM menurunkan barisan pemain muda pada kejohanan itu adalah sesuatu yang harus di puji malah mereka (pemain) menunjukkan banyak peningkatan prestasi... macam pasangan beregu wanita (Pearly Tan-M.Thinaah), mereka muda tapi dengan prestasi yang semakin meningkat telah mampu sampai ke separuh akhir. Ini menunjukkan penyediaan BAM yang mempunyai barisan pemain untuk memberikan saingan sengit dalam mana-mana kejohanan," katanya.

Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia yang juga pemain pilihan keenam kejohanan, telah mengatasi kesemua halangan dengan menewaskan juara bertahan yang juga pemain pilihan kedua Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-19 pada perlawanan akhir malam Ahad yang berlangsung selama 74 minit di Utilita Arena, Birmingham.

Kemenangan pemain kelahiran Alor Star itu meletakkan nama Malaysia pada senarai pemenang All England, selepas kali terakhir dimenangi Chong Wei pada edisi 2017.

Kejayaan itu juga menamatkan kemarau tiga tahun Zii Jia tanpa gelaran selepas memenangi Terbuka Taiwan pada 2018 apabila beliau mengalahkan Riichi Takeshita dari Jepun 21-17, 16-21, 21-11, sebelum tidak menyertai apa-apa kejohanan selama setahun akibat Covid-19. - Bernama