Luluh hati lihat ibu, adik tenggelam depan mata

Mohd Azizul menunjukkan gambar arwah ibu dan adik perempuannya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, Alor Setar pada Isnin.
Mohd Azizul menunjukkan gambar arwah ibu dan adik perempuannya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - "Luluh hati apabila melihat kereta Proton Persona dinaiki ibu dan adik tenggelam dalam Tasik Serdang, saya cuba membantu menyelamatkan mereka tetapi tidak berhasil," kata ahli keluarga mangsa lemas, Mohd Azizul Hashim, 33.

Ibunya, Hasmah Mat Isa, 69, dan adik perempuannya, Noraiza Hashim, 28, ditemui lemas selepas terperangkap di dalam kenderaan dinaiki mereka yang terjunam ke dalam tasik tersebut.

Mohd Azizul berkata, dia pulang dari Taiping kira-kira jam 2 petang untuk membawa bapanya, Hashim Ariffin, 74, mendapatkan rawatan telinga pada Isnin.

"Saya meminta kunci motosikal daripada Aiza untuk guna dan menyerahkan kunci kereta saya kepadanya sekiranya dia ingin keluar.

"Lebih kurang 6.15 petang, saya kebetulan melalui tasik dan melihat kereta itu sudah hampir tenggelam dan cuba untuk menyelamatkan mereka berdua," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, dia sedih apabila gagal menyelamatkan mereka dan orang awam yang berada di sekitar tasik yang cuba membantu juga tidak dapat berbuat apa-apa.

"Saya hanya mampu melihat kereta itu tenggelam ke dalam tasik tersebut sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian untuk memberi bantuan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beranak lemas, kereta terjunam masuk tasik

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia dimaklumkan adiknya yang merupakan anak kelapan daripada 11 beradik itu berada di luar kenderaan ketika kejadian dan cuba menyelamatkan ibu mereka selepas kereta terjunam ke dalam tasik.

Katanya, Aiza yang bekerja di sebuah kilang dan menyewa di Parit Buntar sememangnya rapat dengan orang tua mereka, malah kerap pulang ke rumah untuk membantu menguruskan ibu bapa mereka.

Katanya, dia terkejut dan tidak menyangka perkara berkenaan akan berlaku, bagaimanapun tetap reda dengan ketentuan Illahi.

Jenazah dua beranak berkenaan dihantar untuk proses bedah siasat di HSB dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irsyad Serdang petang Isnin.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan dua beranak ditemui lemas apabila kenderaan Proton Persona yang dinaiki mereka terjunam ke dalam Tasik Serdang pada kejadian kira-kira jam 6.30 petang.