Nafas bekal benih padi berkualiti

Penggunaan benih padi sah adalah amalan pertanian yang baik bagi memastikan pengeluaran padi daripada sumber benih berkualiti, menjamin ketulenan varieti serta mengurangkan populasi padi angin. Gambar kecil: Rozaidi
Penggunaan benih padi sah adalah amalan pertanian yang baik bagi memastikan pengeluaran padi daripada sumber benih berkualiti, menjamin ketulenan varieti serta mengurangkan populasi padi angin. Gambar kecil: Rozaidi
A
A
A

TANJONG KARANG- Pelantikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pemborong tunggal dalam program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) bukan sahaja mampu membekalkan benih lebih berkualiti dan bermutu tinggi malah dapat mengurangkan risiko rintang penyakit dan risiko padi angin.

Pengarah Kawasan Pembangunan Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, Rozaidi Abdul Rahman berkata, pengedaran benih padi sah itu sekali gus mampu meningkatkan kadar pengeluaran beras negara dan hasil pendapatan pesawah secara keseluruhannya.

“Kita yakin benih padi sah yang dibekalkan Nafas ini dapat menambahkan hasil pengeluaran padi dan pendapatan secara konsisten pada masa depan,” katanya kepada Sinar Harian dalam wawancara khas di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang di sini pada Jumaat.

Rozaidi berkata, selain itu, inisiatif IBPS juga mampu mengatasi pelbagai isu dan permasalahan yang dialami oleh pesawah sebelum ini.

“Mekanisme ini sekali gus dapat memastikan pesawah mendapat bekalan padi sah dan memenuhi permintaan pasaran serta menghapuskan pembelian benih padi secara haram,” katanya.

Menurut Rozaidi, penggunaan benih padi sah adalah amalan pertanian yang baik bagi memastikan pengeluaran padi daripada sumber benih berkualiti, menjamin ketulenan varieti serta mengurangkan populasi padi angin.

Katanya, pelaksanaan IBPS di Selangor amat bersesuaian kerana ia dapat meningkatkan keutamaan IADA bagi pelaksanaan ‘satu blok, satu varieti’, sekali gus menyelesaikan masalah kawalan benih padi.

“Di Selangor sebelum ini misalnya, kita ada kira-kira 15 varieti, tetapi dengan program benih padi sah dibekalkan Nafas kita telah hadkan kepada enam varieti padi sahaja iaitu MR 297, MR219, MR269, MR303 dan MR307.

Artikel Berkaitan:

“Dengan adanya enam varieti ini, kita berharap pesawah dapat mematuhi jadual air ditetapkan bagi meningkatkan hasil pengeluaran,” katanya.

Beliau juga berharap program IBPS yang dikendalikan Nafas itu dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

“IADA sedang mengemas kini proses penanaman dan kita menggalakkan ketua-ketua blok menyertai program ‘satu blok, satu varieti’. Dengan ini kita berharap dapat menyelesaikan masalah kualiti padi dan mengurangkan potongan hasil di peringkat pengilang,” katanya.

Sehingga kini katanya, kawasan padi di IADA Barat Laut Selangor seluas 18, 784 hektar membabitkan seramai 9,754 pesawah dengan purata hasil pengeluaran sebanyak 174, 433 tan metrik.

Dalam pada itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK Tanjong Karang, Mohd Ruzi Abu Hassan berterima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang melantik Nafas sebagai pemborong tunggal dalam IBPS, seterusnya mengagihkan kepada PPK seluruh negara.

“PPK Tanjong Karang turut memainkan peranan dalam inisiatif itu bagi mengagihkan dan membekalkan benih padi sah kepada pesawah di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya komited dalam memastikan benih padi sah yang diedarkan berkualiti bagi memastikan bekalan ada dalam pasaran dengan harga kurang RM35 setiap 20 kilogram (kg) satu beg.

“Kita tidak akan menjual harga melebihi RM35 satu beg kerana kita memahami di luar sana pelbagai masalah timbul termasuk harga padi yang jauh lebih tinggi.

“Sehubungan itu, kita berharap pesawah di kawasan tanaman sekitar Tanjong Karang tidak bimbang dengan kemampuan PPK dalam memastikan bekalan benih padi sah mencukupi untuk keperluan penanaman padi,” katanya.

Mohd Ruzi juga berharap, pengagihan benih padi sah dapat dipertingkatkan pada musim tanaman akan datang.

“Sehingga kini, kita telah mengagihkan lebih 6,280 benih padi sah kepada pesawah di kawasan seluas 5,586 hektar pada musim tanaman lalu,” katanya.

Ditanya mengenai stok bekalan benih padi pada masa ini di kawasan Tanjong Karang, Mohd Ruzi berkata, masalah itu hanya dihadapi pada peringkat awal dan berjaya diselesaikan.

“Kerjasama baik antara kerajaan dan Nafas membolehkan kita dapat menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata, pengagihan benih padi akan melalui beberapa peringkat sebelum diserahkan kepada pesawah.

“Benih padi ini akan menggunakan pengangkutan daripada Nafas dan kemudian dihantar kepada PPK Tanjong Karang mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.

Menurut Pengurus Besar PPK Tanjong Karang, Hashim Abdul Hamid berkata, pihaknya komited memastikan benih padi sah yang diterima pesawah dipertingkatkan pada musim tanaman akan datang.

“Insya-ALLAH pada musim kedua, kita akan menambah lagi untuk pengagihan benih padi sah yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkeyakinan pengedaran benih sah itu memberi manfaat kepada kira-kira 2,600 pesawah di kawasan Tanjong Karang.

Hashim berkata, terdapat dua kaedah digunakan bagi pengedaran benih padi iaitu kepada ladang benih dan pesawah secara terus menerus.

Menurut beliau, pengedaran benih padi sah itu secara tidak langsung dapat menangani pelbagai isu membabitkan pesawah pada sebelum ini.

“Kita sedang menambah baik cara rantaian pengedaran kepada pesawah dan syarikat yang menggunakan sistem calit tapak semaian secara komprehensif,” katanya.

Beliau berkata, PPK Tanjong Karang mempunyai gudang dan dua pukal bagi penyimpanan padi sah.

“Bagi pengedaran padi biasa kepada pesawah, kita membuat pesanan kepada Nafas dan seterusnya membuat penghantaran di kawasan PPK Tanjung karang.

“Pada waktu pengedaran, kita akan meminta pesawah sama ada berada di premis kami atau pun mengambilnya dalam tempoh yang telah ditetapkan,” katanya.

Hashim berkata, pengedaran padi sebelum ini dilakukan melalui 'orang tengah' selain berdepan manipulasi benih padi sah dan harga di lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak di pintu kilang.

“Penstrukturan semula ini membolehkan Nafas melalui PPK menguruskan rantaian ini dengan lebih baik bagi menetapkan penghantaran dan juga pengambilan benih padi terbabit.

“Dengan cara ini, pesawah dapat memperoleh benih padi sah terus sampai ke sawah mereka tepat pada waktunya,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan dalam kalangan pesawah menerusi inisiatif IBPS itu, Hashim berkata, setakat ini sambutan diterima sangat baik.

“Walaupun ada rungutan tertentu, tetapi apabila penghantaran bekalan benih itu berkualiti, masalah ini tidak timbul dan paling penting PPK bertanggungjawab untuk menentukan kualiti padi sah.

“Pengeluar benih dan Nafas juga sentiasa bersama PPK turun padang untuk melihat prestasi kesuburan benih padi sah ini,” katanya.

Hashim berkata, benih padi sah yang dikeluarkan itu mampu menentukan 70 peratus kejayaan hasil pengeluaran padi.

“Kita berharap pada musim depan, kita akan tambah baik lagi supaya pengeluaran hasil lebih efisyen dan meningkat,” katanya.

Sementara itu, rata-rata pesawah amat berpuas hati berikutan pelantikan Nafas sebagai pemborong tunggal bagi mengendalikan pengagihan benih padi sah.

Seorang pesawah, Mohamad Mohassim Mohd Ali, 61, berkata, penetapan harga itu dianggap menguntungkan pesawah.

“Sebelum ini pesawah terpaksa membeli benih padi pada harga jauh lebih tinggi sehingga RM70 setiap 20 kg beg,” katanya.

Beliau yang mengusahakan sawah seluas 12 hektar turut merasai kesan akibat manipulasi harga benih daripada pihak pengilang.

“Saya menganggap harga benih padi RM35 setiap 20kg pada tahap rendah dan menguntungkan pesawah yang kini berdepan pelbagai masalah terutama hasil pengeluaran yang semakin menurun,” katanya.

Sementara itu, pesawah muda, Mohd Yazid Basir, 35, berkata, harga benih padi sah ditawarkan Nafas itu berpatutan dan diyakini lebih berkualiti.

Mohd Yazid yang mengusahakan sawah seluas 1.2 hektar berkata, pengagihan benih padi sah juga secara tidak langsung dapat menarik minat golongan muda untuk menceburi sektor pertanian itu.

“Jika sebelum ini, harga benih padi berubah-ubah, tetapi dengan mekanisme penetapan harga ini kami dapat meningkatkan lagi hasil pengeluaran.

“Saya yakin Nafas mampu memainkan peranan besar dalam memastikan industri padi negara dapat berkembang sekaligus memenuhi permintaan pasaran,” katanya.