X

Kindly register in order to view this article
!

PKR kenal pasti ‘ejen politik’ pujuk ahli Parlimen sokong PN

Johari Abdul
A
A

ALOR SETAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengenal pasti beberapa individu yang berperanan sebagai ejen politik terdiri daripada bekas pemimpin dan ahli parti itu yang keluar parti atau dipecat sebelum ini.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul mendakwa ejen berkenaan memujuk ahli Parlimen PKR agar lebih ramai wakil rakyatnya meninggalkan parti itu dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Pengerusi PKR Kedah itu, mereka turut dimomokkan dengan persepsi kononnya PKR tiada masa depan dalam politik negara ini.

“Beberapa ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya dihubungi pihak tertentu yang memujuk mereka supaya tinggalkan PKR kononnya parti itu tiada masa depan cerah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Johari berkata, ejen berkenaan berkemungkinan diarahkan menjadi orang tengah dengan menghubungi bekas rakan dalam PKR agar turut menyertai mereka menyokong kerajaan PN.

“Ada daripada ejen terbabit yang telah lompat parti dan menjadi sub ejen dan hubungi kawan-kawan ajak lompat masuk PN,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari berkata, pihaknya turut melakukan siasatan dalaman dan mendapati kebanyakan pemimpin yang lompat parti telah diberikan kata dua oleh individu berpengaruh.

“Hasil siasatan, mereka yang didekati ada masalah tertentu dan sekiranya tidak bersama PN akan dikenakan tindakan atau pendakwaan, contohnya kes Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang telah dibuka kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Johari berkata, pihaknya berharap SPRM kekal telus dan tidak dijadikan alat untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Kami tak mahu agensi kerajaan seperti SPRM digunakan untuk tujuan politik. Kalau SPRM nak siasat, biar semua yang terlibat disiasat, jangan selektif,” katanya.

Pihaknya berharap kerajaan PN memberi tumpuan sepenuhnya kepada masalah negara seperti wabak Covid-19, berbanding cubaan memancing ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong PN.

“Ini adalah suatu tindakan yang tidak bermaruah,” katanya.

Dalam pada itu, Johari menegaskan, PKR sudah memfailkan surat saman terhadap individu yang melompat parti untuk diambil tindakan di mahkamah.

“Mereka harus faham bahawa surat yang dihantar itu menuntut mereka membayar RM10 juta kerana menggunakan lambang parti, bukan sebab lompat. Ini kerana penggunaan lambang PKR itu yang menyebabkan mereka menang pilihan raya umum (PRU),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa ahli Parlimen PH diugut, pelawa sogokan


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!