Parlimen cuma bersidang selepas darurat tamat: Takiyuddin

Takiyuddin dan Mustapa menyampaikan taklimat kepada ketua-ketua agensi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di Dewan Utama, Kompleks Kota Darul Naim. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (kiri). Foto Bernama
Takiyuddin dan Mustapa menyampaikan taklimat kepada ketua-ketua agensi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di Dewan Utama, Kompleks Kota Darul Naim. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (kiri). Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun diasak daripada pelbagai pihak, namun kerajaan tetap menegaskan persidangan Parlimen hanya akan bermula selepas tempoh darurat tamat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun, semua keputusan terpulang kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk menentukan tarikh yang bersesuaian.

“Insya-ALLAH, Parlimen akan bersidang selepas darurat tamat, tidak kira bulan berapa, bila-bila tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang Di-Pertuan Agong. Cuma Yang Di-Pertuan Agong bertindak menjalankan fungsinya berdasarkan kepada nasihat, pandangan yang diberikan jemaah menteri, berdasarkan fakta dan sains.

“Faktanya tengok keadaan kesihatan yang sebagaimana saya sebut iaitu ramai kumpulan yang berisiko, itu diambil kira. Kita baru bersidang pada bulan Disember baru-baru ini masa kita luluskan bajet.

“Sekarang baru bulan Mac, jadi tidak ada masalah pun. Pada tahun 1969 dulu, Parlimen tidak bersidang selama dua tahun, tiada masalah pun,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Ahad.

Beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyampaikan taklimat kepada ketua-ketua agensi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan melalui Program Malaysia Prihatin sesi bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di Dewan Utama, Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Sebelum ini wujud pelbagai desakan daripada ahli-ahli Parlimen yang mahu persidangan diteruskan. Antaranya ialah daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kecewa fungsi Parlimen sebagai proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara terus tergantung dengan alasan 'sains dan data'.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sudah 25 hari berlalu sejak Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh Ordinan Darurat berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

Namun menurutnya, sehingga hari ini masih tiada tarikh ditetapkan kerajaan untuk wakil rakyat kembali bersidang di Dewan Rakyat.