UMNO Ketereh hantar surat pendirian kepada Presiden parti

ANNUAR MUSA
ANNUAR MUSA
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO Bahagian Ketereh menghantar surat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pendirian mereka menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN)

Ketuanya, Tan Sri Annuar Musa berkata, surat dihantar menerusi e-mel kepada Datuk Seri Ahmad Maslan pada petang Sabtu sebelum Setiausaha Agung UMNO itu menyerahkannya kepada Ahmad Zahid pada Isnin ini.

Beliau berkata, surat yang memutuskan empat perkara itu sudah ditandatangani oleh 30 Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Ketereh.

"Kita memutuskan untuk memberi sokongan terus kepada gabungan kerajaan PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kita juga mengesyorkan agar Barisan Nasional (BN) dan PN memulakan rundingan pembahagian kerusi dan berusaha membentuk gabungan yang kuat melawan Pakatan Harapan (PH) satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Ketereh Kali Ke-27 di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, Melor di sini pada Sabtu.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, langkah pihaknya menghantar surat itu ialah bagi mengelakkan kekeliruan di peringkat akar umbi khususnya UMNO Bahagian Ketereh.

Menurutnya, setiap kawasan mempunyai pandangan dan cara masing-masing termasuk UMNO Sabah dan Perlis untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

"Ia bukan satu pendirian luar biasa kerana sudah ditetapkan oleh parti. Kita mahu ia dipertahankan secara konsisten kerana ada usaha yang cuba membawa kepada keputusan berbeza daripada apa yang diputuskan sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun menyarankan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar melantik Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN).

"Kita juga menggesa supaya kerajaan terus fokus dengan memberi keutamaan kepada agenda kestabilan politik, memerangi Covid-19, membina rakyat dan pulihkan ekonomi," katanya.