Penganggur berang ditegur tidak pakai pelitup muka ditahan

Lelaki yang ditahan polis selepas berang ditegur tidak memakai pelitup muka di Sitiawan. - Foto Ihsan PDRM
Lelaki yang ditahan polis selepas berang ditegur tidak memakai pelitup muka di Sitiawan. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

LUMUT - Seorang penganggur ditahan polis kerana bertindak kasar terhadap dua pekerja kedai yang menegurnya kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di sebuah medan selera di Kampung Koh, Sitiawan di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, lelaki berusia 38 tahun itu bertindak membaling puntung rokok ke arah remaja yang menjaga pintu masuk selain menendang kerusi di kedai makan terbabit.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek turut mengasari pekerja lain yang cuba menenangkannya.

Menurutnya, polis melakukan siasatan sebaik menerima laporan yang dibuat mangsa di Balai Polis Sitiawan.

"Kedua-dua mangsa berusia 16 dan 17 tahun itu tidak mengalami kecederaan dalam insiden itu.

"Suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada jam 11.30 malam," katanya di sini pada Jumaat.

Nor Omar berkata, suspek direman selama dua hari sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut.

"Motif kejadian masih dalam siasatan. Suspek didapati dengan jelas memasuki kawasan kedai tanpa memakai pelitup muka.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai merebak penyakit berjangkit (Covid-19)," katanya.