Negeri Sembilan tumpu pelaburan berkualiti

Mohamad Rafie (tiga dari kiri) selepas sidang akhbar di NS Corporation, Menara Mains di Seremban pada Jumaat.
Mohamad Rafie (tiga dari kiri) selepas sidang akhbar di NS Corporation, Menara Mains di Seremban pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menekankan untuk membawa masuk pelaburan berkualiti ke negeri ini demi kesejahteraan rakyat ketika negara berdepan pendemik Covid-19.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, pelaburan berkualiti itu ialah pelaburan yang memerlukan pekerjanya dilengkapi ilmu serta kemahiran.

"Kita tidak lagi berminat dengan pelaburan menggunakan pekerja yang ramai dan terlibat dengan kerosakan alam sekitar.

"Pelaburan yang kita tekankan ialah yang boleh meningkatkan kualiti hidup. Jadi rakyat boleh bekerja dan berniaga. Jika bekerja, pendapatan haruslah jauh lebih tinggi," katanya pada sidang media promosi Webinar Pelaburan di NS Corporation di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) di sini pada Jumaat.

Mohamad Rafie berkata, langkah itu merupakan hasrat kerajaan sejajar bagi meningkatkan kualiti pendidikan rakyat.

Katanya, ia juga bagi memastikan generasi muda mendapat pendidikan dan kemahiran dengan pendapatan lebih baik.

"Sebab itu kita berhati-hati memilih pelaburan supaya pelaburan itu benar-benar membawa manfaat," kata beliau.

Sementara itu, mengenai program Webinar Pelaburan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan berkata, kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan untuk membuka lebih banyak 'perkara luar biasa' dengan memberikan pendedahan kepada pelabur dan masyarakat berhubung perniagaan dalam keadaan norma baharu.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan sekarang adalah berbeza di mana berniaga secara fizikal mungkin lebih sukar bagi mereka yang menggunakan kaedah digital ataupun secara maya.

"Justeru dalam Webinar Pelaburan yang akan berlangsung pada 23 Mac ini, kita akan membincangkan mengenai persekitaran perniagaan pasca wabak Covid-19, kemudian mendedahkan potensi perniagaan di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan," katanya.

Difahamkan, Webinar Pelaburan itu akan menampilkan Pengerusi Bursa Malaysia Berhad dan juga penasihat NS Corporation, Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai moderator.

Empat orang panel akan terlibat dalam program berkenaan iaitu Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Ahmad Khairuddin; Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad, Datuk Azmir Merican dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Rafie berkata, pihaknya akan mengadakan Program Misi Perdagangan bersiri secara maya membabitkan lapan buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Taiwan, Jepun, Turki, Jerman, Korea dan China.

Program itu dijadualkan bermula dengan Sepanyol pada 31 Mac ini.