PKR diminta lapor polis siasat siapa 'Azhar' - Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas dakwaan seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa beliau dihubungi dan ditawarkan peruntukan serta kontrak sekiranya bersetuju untuk melompat parti dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jika dakwaan itu benar, wakil rakyat PKR terbabit boleh membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memulakan siasatan.

“Nampaknya pembangkang masih tak habis-habis dengan budaya fitnah. Strategi memburukkan kerajaan, menimbulkan keraguan dan melontar tohmahan ini memang sudah lama jadi amalan mereka.

“Kali ini Ahli Parlimen PKR mendakwa seorang yang bernama ‘Azhar’ hubunginya dan buat tawaran bagi pihak parti (Bersatu)...siapa ‘Azhar’ ini. Dia daripada parti mana,” soal Wan Saiful dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya daripada PKR mendakwa individu bernama Azhar menghubunginya dengan membuat tawaran menyertai Bersatu serta berjanji untuk menyalurkan peruntukan dan kontrak sekiranya beliau bersetuju untuk melompat parti dan menyokong kerajaan PN.

Karupaiya dilaporkan berkata, beliau bagaimanapun menolak tawaran berkenaan dan memberitahu lelaki tersebut bahawa beliau setia kepada perjuangan PKR.

Menurutnya, keputusan tersebut turut disenangi oleh rakyat kerana beliau tidak melompat parti, seperti dilakukan segelintir wakil rakyat lain.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, dalam kalangan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak ada individu yang bernama Azhar.

Artikel Berkaitan:

“Entah siapa yang hubungi dia, tiba-tiba nak fitnah orang lain pula,” katanya.

Wan Saiful berkata, Karupaiya seharusnya mengetahui sama ada individu yang menghubunginya itu merupakan wakil parti atau sebaliknya.

Menurut Wan Saiful, PKR kini 'sedang runtuh' kerana ketidakyakinan ahlinya sendiri kepada parti itu.

“Janganlah gunakan taktik cuba kaitkan parti dengan ‘stranger’ yang datang entah dari mana atau dicipta sendiri.

“Krisis dalaman PKR amat besar dan sedang membarah. Selesaikanlah masalah dalam parti sendiri. Jangan ubah topik dan alih perhatian dengan cara memfitnah,” katanya.

ends