Penolong jurutera mengaku tidak salah terima rasuah

Tertuduh (tengah) diiring SPRM ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis atas tuduhan menerima rasuah RM1,500 tiga tahun lalu.
Tertuduh (tengah) diiring SPRM ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis atas tuduhan menerima rasuah RM1,500 tiga tahun lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penolong jurutera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis atas tuduhan menerima rasuah RM1,500 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nor Afendi Abd Wahab, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menerima rasuah RM1,500 secara pindahan mesin deposit tunai kepada akaun banknya daripada pengarah syarikat pembinaan sebagai dorongan untuk melancarkan proses berkaitan kebenaran untuk syarikat itu memulakan kerja di tapak projek membina dan menyiapkan bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai.

Perbuatan itu dilakukan pada 13 Jun 2018, jam lebih kurang 10 malam di Bank CIMB di Jalan Dato Bandar Tunggal di Seremban.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan yang rendah atas alasan hanya dia seorang yang bekerja dalam keluarga serta isterinya mempunyai sakit jantung dan perlu membuat pemeriksaan secara berkala di Institut Jantung Negara (IJN).

Madihah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada minggu pertama setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 21 April depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Zainab Yahaya.