X

Kindly register in order to view this article
!

Johor benar bazar Ramadan, Aidilfitri beroperasi

Gambar hiasan.
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor membenarkan penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) normal baharu yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, ketetapan mengenai operasi kedua-dua bazar berkenaan akan diputuskan Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Johor yang akan berbincang dengan semua PBT.

Menurutnya, ketetapan itu dijangka dimaklumkan PBT kepada peniaga-peniaga tapak kedua-dua bazar pada minggu ketiga bulan ini.

"Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Johor akan berbincang dengan semua PBT menyelaraskan dan menetapkan syarat-syarat operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri bagi tahun ini.

"Perkara utama bagi setiap operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri perlu memastikan kawasan perniagaan tidak bersesak.

"Selain itu lokasi bazar perlu mempunyai kawasan yang luas serta lapang dan jalan keluar masuk sehala," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut Ayub, berdasarkan maklumat pada tahun lalu, sebanyak 12,000 peniaga telah berdaftar dengan PBT di seluruh negeri dengan jumlah 220 tapak lokasi bazar Ramadan.

Bagaimanapun, tiada bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri yang dibenarkan beroperasi pada tahun lalu, berikutan penularan Covid-19.

"Pada tahun 2019, bazar Ramadan di negeri ini merekodkan anggaran hasil jualan sebanyak RM200 juta hingga RM250 juta.

"Justeru, kebenaran beroperasi bagi kedua dua bazar ini dapat memastikan kelangsungan sumber rezeki kepada peniaga seterusnya dapat membantu memulihkan ekonomi," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!