Hobi kumpul Hot Wheels boleh buat duit

Amirul bersama hampir 100 koleksi kereta mainan Hot Wheels. Gambar kecil: Kereta mini hasil kreativiti Amirul menarik perhatian ramai.
Amirul bersama hampir 100 koleksi kereta mainan Hot Wheels. Gambar kecil: Kereta mini hasil kreativiti Amirul menarik perhatian ramai.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pelajar menjadikan minat mengumpul kereta mainan Hot Wheels sebagai terapi selain menjana pendapatan membantu keluarganya.

Bermula sebagai hobi dan minat mengisi masa lapang, usaha Amirul Asyraaf Zani, 17, tidak sia-sia apabila mampu membina perniagaan secara kecil-kecilan dengan mencipta kereta mini buatan sendiri.

Lebih mesra dipanggil Pak Tam, Amirul Asyraaf mula menghasilkan kereta Hot Wheels buatan sendiri sejak berusia 12 tahun dengan menggabungkan simen jenis 'epoxy putty' dan plastik.

Katanya, setiap tempahan mengambil masa dalam dua minggu atau sebulan untuk disiapkan mengikut kehendak pelanggan.

"Saya menghasilkan kereta mini mengikut tempahan pelanggan yang kebanyakannya mahu model seperti kereta milik mereka. Setakat ini ada beberapa jenis kereta sudah disiapkan seperti Proton Wira, Saga, Perodua Axia dan Myvi.

"Memang agar mencabar untuk menghasilkan model kereta mini yang sama seperti kehendak pelanggan tetapi saya anggap itu adalah penyuntik semangat untuk terus berjaya dalam bidang ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Padang Kala itu, setiap rekaannya dijual pada harga RM100 hingga RM200 bergantung kepada reka bentuk dan permintaan pelanggan.

"Kereta mini pertama yang pernah dihasilkan ialah kereta Proton Saga dan kereta mana yang paling saya sayang ialah kereta mini Lancer Evo," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Paparan Instagram Amirul iaitu paktam_garage04.
Paparan Instagram Amirul iaitu paktam_garage04.

Pengumpul tegar kereta mainan Hot Wheels ini juga tidak lari daripada kecaman orang ramai yang memperlekehkan perniagaannya kerana dianggap membuang masa dan sia-sia.

Bagaimanapun anak bongsu daripada tiga beradik ini sentiasa positif untuk mengecapi impiannya, maju dalam bidang berkenaan selain memperluaskan lagi pasaran kereta mini terbabit.

"Pada mula menghasilkan kereta mini, ramai kata usaha ini buang masa dan perlekehkan tetapi kata-kata mereka itu saya jadikan pembakar semangat untuk meneruskan kerjaya ini dan yang penting niat saya membantu keluarga.

"Alhamdulillah, setelah kisah saya tular di laman sosial, saya sangat gembira kerana ramai yang menghubungi untuk menempah kereta mini mereka," katanya tinggal di Kampung Pauh Butut Peringat, Kota Bharu.

Bercerita mengenai koleksi kereta mainan Hot Wheels, Amirul mengakui memiliki hampir 100 biji kereta mainan berkenaan.

Baru-baru ini, kisah Amirul mendapat liputan luas dari laman sosial setelah menyiapkan sebuah model Ford Ranger kustom untuk ikon fesyen maskulin tempatan terkenal, Wak Doyok.

Difahamkan, model kustom tersebut sudah pun diserahkan kepada Wak Doyok.