Wanita murung terjun jambatan

Tangkap layar daripada rakaman video seorang pekerja kantin wanita berusia 29 tahun yang berdiri di atas palang jambatan sebelum terjun ke Sungai Kelantan pada Rabu.
Tangkap layar daripada rakaman video seorang pekerja kantin wanita berusia 29 tahun yang berdiri di atas palang jambatan sebelum terjun ke Sungai Kelantan pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita yang didakwa mengalami kemurungan bertindak terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini pada Rabu.

Tindakan pekerja kantin berusia 29 tahun itu disedari orang awam yang menggunakan laluan itu pada jam 1.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, dalam kejadian itu, wanita terbabit dilihat berdiri di atas palang penghadang jambatan dalam keadaan menghadap ke arah Sungai Kelantan.

Menurutnya, pengadu lelaki yang berusia 21 tahun memandu melalui jambatan ternampak tindakan wanita terbabit memberhentikan kereta dan memujuknya.

“Dia segera menghubungi 999 untuk bantuan dan polis tiba di lokasi tetapi wanita itu tiba-tiba terjun ke sungai.

“Wanita itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Abdul Rahim, wanita berkenaan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dan mungkin akan dirujuk kepada pakar psikiatri.

Beliau berkata, keluarganya memaklumkan, wanita tersebut mengalami masalah kemurungan dan tekanan perasaan yang belum diketahui punca.

Artikel Berkaitan:

“Dia tidak mempunyai rekod penyakit mental dan tidak pernah dirujuk ke hospital tetapi dalam proses pemulihan melalui kaedah perubatan tradisional,” katanya,

“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca kejadian yang menyebabkan dia terjun,” katanya.

Rakaman video wanita berkenaan berdiri di atas palang jambatan tersebut kini sedang tular di media sosial.