Red Giants dituntut lebih garang di laman Harimau Selatan

Selangor FC bakal menurunkan kesebelasan terbaiknya biarpun menjangkakan tentangan sengit daripada pendahulu Liga Super, JDT di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri malam ini. - Foto Selangor FC
Selangor FC bakal menurunkan kesebelasan terbaiknya biarpun menjangkakan tentangan sengit daripada pendahulu Liga Super, JDT di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri malam ini. - Foto Selangor FC
A
A
A

SELANGOR FC bakal menurunkan kesebelasan terbaiknya biarpun menjangkakan tentangan sengit daripada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri malam ini.

Ketua Jurulatih The Red Giants, Karsten Neitzel berkata, kesebelasan pemain Merah Kuning tersebut diingatkan untuk memberikan fokus dan beraksi pada tahap terbaik dalam usaha meraih mata pada perlawanan berkenaan.

“Apa juga keputusan perlawanan sebelum ini, ia telah pun berlalu, tiada siapa akan ingatkannya lagi.

“Kita ada lagi 90 minit (yang baharu) untuk beraksi dengan lebih baik setelah kita kenal pasti dan perbaiki kesilapan yang kita lakukan.

“Ya, saya akui berdepan JDT perlawanan yang sukar kerana kita berdepan dengan kelab terbaik di negara ini dan ia adalah cabaran untuk kita,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Aksi Liga Super 13 Mac lalu, Selangor FC terikat 1-1 ketika berdepan Kuala Lumpur City FC manakala Harimau Selatan melakar kemenangan 4-0 ke atas UiTM FC.

Sementara itu, Neitzel mahu kesebelasan anak didiknya lebih berani untuk memberikan cabaran kepada kesebelasan skuad Harimau Selatan tersebut pada perlawanan kali ini.

Malah katanya, setiap pemain juga perlu beraksi sebagai satu pasukan jika mahu melakar kejayaan.

Artikel Berkaitan:

“Paling penting pemain tidak boleh menoleh ke belakang tetapi perlu terus memandang ke hadapan selain beraksi lebih berani, beraksi dengan segala kebolehan yang dimiliki dan mungkin ada peluang malam ini,” katanya.