Sindiket lindungi pemandu lori: Tiga penguat kuasa JPJ Pulau Pinang direman

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang direman empat hari mulai Selasa bagi membantu siasatan berhubung kes sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Muhammad Azam Md Eusoff di sini jam 11.15 pagi Selasa bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Ketiga-tiga lelaki itu yang berumur 39 hingga 43 tahun ditahan pada Isnin selepas dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal.

Menurut sumber, antara modus operandi yang dikesan ialah pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang telah melakukan kesalahan jalan raya setelah menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

Ketiga-tiga anggota penguat kuasa JPJ itu tiba ke mahkamah pada jam 10.30 pagi dengan berpakaian lokap SPRM. - Bernama

Artikel Berkaitan: