X

Kindly register in order to view this article
!

WHO kaji semula vaksin Covid-19 AstraZeneca

WHO masih menjalankan kajian semula terhadap keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca/Oxford apabila Perancis, Itali, Sepanyol dan Jerman menyertai negara lain menangguhkan penggunaan vaksin ini - Foto Agensi
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih menjalankan kajian semula terhadap keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca/Oxford apabila Perancis, Itali, Sepanyol dan Jerman menyertai negara lain menangguhkan penggunaan vaksin ini.

Beberapa negara bertindak menangguhkan penggunaan vaksin itu berikutan laporan segelintir penerima vaksin itu mengalami darah beku dan meninggal dunia, lapor Xinhua.

“Sejak Jumaat, beberapa negara telah menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca sebagai langkah pencegahan setelah laporan mengenai darah beku oleh penerima vaksin daripada dua kumpulan yang dihasilkan di Eropah," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin.

Katanya, kajian itu tidak semestinya berkaitan dengan vaksinasi, tetapi merupakan praktik rutin dan ini menunjukkan bahawa sistem pengawasan berfungsi dan wujudnya kawalan yang efektif.

Jawatankuasa Penasihat Global WHO mengenai Keselamatan Vaksin telah mengkaji data yang ada dan sedang berhubung rapat dengan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) dan akan bertemu pada Selasa.

Pada Isnin, Perancis, Jerman dan Sepanyol memutuskan untuk menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca/Oxford Covid-19 sebagai 'langkah pencegahan' sementara menunggu penilaian oleh EMA, yang membenarkan penggunaannya di Kesatuan Eropah (EU) pada 29 Januari.

Sebelum itu, Austria, Itali, Bulgaria, Denmark, Romania, Estonia, Lithuania, Luxembourg, Latvia dan negara-negara bukan EU Norway dan Iceland juga menangguhkan sepenuhnya atau sebahagian penggunaan vaksin AstraZeneca.

Tedros berkata, ancaman terbesar dihadapi kebanyakan negara sekarang ialah kekurangan akses kepada vaksin kerana beberapa negara terkaya di dunia membeli secara berlebihan manakala banyak negara lain langsung tidak memperolehnya.

WHO meminta semua negara bersolidariti memastikan vaksinasi bermula dalam 100 hari pertama tahun ini.

"Tidak ada negara yang akan bebas pandemik walaupun setelah divaksinasi melainkan kita semua melakukannya bersama-sama," katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!