Pulau Tioman dikenakan PKPD mulai 16 Mac: Ismail Sabri

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pulau Tioman, Pahang mulai 16 hingga 29 Mac. Foto: Sumber Internet.
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pulau Tioman, Pahang mulai 16 hingga 29 Mac. Foto: Sumber Internet.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pulau Tioman, Rompin, Pahang mulai 16 hingga 29 Mac ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Sehingga 14 Mac lepas, KKM telah melaksanakan 48 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 16 kes positif telah direkodkan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga memutuskan untuk melanjutkan PKP di Nabawan, Sabah selama 14 hari lagi bermula 17 hingga 30 Mac ini.

Beliau berkata, keputusan itu turut dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan panduan KKM.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 3,079 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 279 kes telah direkodkan. Bagaimanapun, KKM mengesahkan masih terdapat baki 872 sampel saringan yang belum mendapat keputusan,” katanya.

Mengulas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri berkata, seramai 458 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dengan 438 daripadanya dikenakan kompaun, tujuh direman manakala 13 lagi diikat jamin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, aktiviti pusat hiburan mencatat kesalahan tertinggi melibatkan 260 individu diikuti rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (90) dan gagal menyediakan peralatan serta merekod diri dan pelanggan (40).

Mengenai kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata lapan pendatang tanpa izin ditangkap manakala empat kenderaan darat dirampas.

Bagi saringan pekerja asing pula, beliau berkata seramai 2,506 orang telah menjalani ujian saringan dan dua daripadanya disahkan positif Covid-19.

Secara kumulatif, seramai 618,486 pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 32,002 majikan. - Bernama