X

Kindly register in order to view this article
!

JPJ buat laporan polis, nafi tohmahan pemandu lori

Rakaman video yang tular menunjukkan kerosakan pada tayar lori tersebut. Gambar kecil: Hanif Yusabra
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan tuduhan anggotanya menjadi punca tayar sebuah lori pancit ketika sekatan Stesen Penguat kuasa JPJ (SPK) Laloh Kuala Krai pada Ahad.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya menerima satu rakaman video berdurasi 1.55 minit yang tular di Tik Tok dan Facebook berkaitan tidak puas hati pemandu sebuah lori terhadap JPJ.

Menurutnya, dalam kejadian jam 5.45 petang pada Ahad, anggota Unit Operasi JPJ Laloh sedang bersiap sedia melaksanakan operasi khas bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Krai.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori jenis art timber jinker (ATJ) dengan muatan kayu balak ini telah melalui hadapan SPK tersebut dan disyaki membawa lebih muatan.

"Anggota operasi bertindak mengekori dan menahan lori yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun kira-kira dua hingga tiga dari SPK Laloh.

Mereka telah mengeluarkan satu notis arah timbang di bawah seksyen 82(1) APAD 2010 dan mengarahkan pemandu hadir timbang di SPK Laloh," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan tuduhan pemandu lori berkenaan yang mendakwa arahan timbang menyebabkan tayar lori dipandu pecah.

"Sebenarnya pemandu tersebut telah hadir untuk timbang melalui pintu masuk utama SPK dalam keadaan melulu dan tergesa-gesa sehingga melanggar konkrit pembahagi jalan di hadapan SPK.

"Situasi itu mengakibatkan kerosakan pada tiga biji tayar sisi kanan belakang lori pecah dan rosak di bahagian rim," katanya.

Video yang tular di laman sosial itu mendapat kritikan daripada netizen dan ada yang berpendapat ia tidak sepatutnya disebarkan kerana anggota agensi yang berkenaan tidak bersalah dan tidak sepatutnya diperlakukan demikian.

Menurutnya, semasa proses dokumentasi dan penimbangan, pemandu tersebut didakwa telah membuat rakaman video yang tular di laman sosial sambil meluahkan rasa tidak puas hati beliau kepada anggota yang bertugas.

Katanya, setelah proses menimbang lori dilakukan, didapati muatan kayu balak yang dibawa melebihi daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan.

"Notis saman kesalahan lebih muatan telah dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik oleh anggota bertugas.

"Pemandu telah menandatangani notis tersebut dan menuju ke lori setelah diarahkan oleh anggota bertugas untuk mengalihkan lori melepasi titi timbang bagi proses penimbangan seterusnya," katanya.

Hanif Yusabra, anggota turut mengeluarkan saman bagi kesalahan Lesen Memandu (CDL), Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang telah tamat tempoh dan membawa muatan secara bahaya.

Namun Hanif Yusabra berkata, pihaknya memandang serius kesalahan memandu kenderaan lebih muatan secara berbahaya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain selamat dan mengelakkan daripada sebarang kemalangan jalan raya berlaku.

Justeru katanya, satu laporan polis telah dibuat bagi tujuan menafikan tohmahan yang dibuat di laman sosial.

"Pemandu tersebut gagal memberi kerjasama kepada anggota penguatkuasa dalam menjalankan tugas dan turut berniat ingin menjatuhkan imej jabatan kami dengan menularkan rakaman video beliau kepada orang ramai di laman sosial.

"Kami ingin mengingatkan kepada orang awam supaya tidak menyebarkan hal yang tidak benar tanpa usul periksa," katanya.

Tambahnya, kes diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan dan tindakan selanjutnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!