Tuduhan PN guna sogokan, intimidasi raih sokongan tidak berasas

Zuraida, Azmin
Zuraida, Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 10 orang bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan tuduhan Perikatan Nasional (PN) menggunakan sogokan dan intimidasi untuk meraih sokongan ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) adalah tidak berasas.

Mereka sebaliknya berkata, sokongan ahli-ahli Parlimen berkenaan setelah melakukan penilaian objektif dan menyedari bahawa kerajaan PN telah mengambil tindakan yang bertanggungjawab dalam menangani wabak Covid-19 dengan menyalurkan sejumlah RM320 bilion untuk kepentingan rakyat dan mencerdaskan ekonomi.

"Tuduhan-tuduhan ini merupakan serangan terhadap integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

"Kami memandang serius tuduhan menghasut secara terang-terangan ini yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi penguatkuasaan dan meminta tindakan undang-undang segera terhadap mereka," katanya menerusi satu kenyataan bersama pada Ahad.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak); Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang); Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat); Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat); Datuk Ali Biju (Saratok); Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Pada 28 Februari lalu, dua ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Larry Sng Wei Shien dari Julau dan Steven Choong Shiau Yoon dari Tebrau telah keluar parti dan ia kemudiannya diikuti Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar pada Sabtu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kemudiannya mendakwa, peletakan jawatan Xavier sebagai Naib Presiden dan ahli parti itu serta merta kerana diugut kerajaan minoriti.

Dakwa Saifuddin, wujud usaha tersusun oleh kerajaan minoriti untuk menarik sokongan ahli Parlimen pembangkang dengan cara umpan dan ugutan menggunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan SPRM.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, 10 orang ahli Parlimen itu berkata, Saifuddin juga tidak memiliki kedudukan moral untuk menjuarai hujah berhubung melompat parti.

Kenyataan media 10 orang bekas ahli Parlimen PKR menerusi Facebook Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kenyataan media 10 orang bekas ahli Parlimen PKR menerusi Facebook Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Beliau telah beberapa kali menjadi juara melompat daripada UMNO ke PKR, kemudian daripada PKR ke Pas dan seterusnya daripada Pas kembali ke PKR.

"Berbanding dengan Xavier yang merupakan Naib Presiden PKR yang terpilih, kedudukan Saifuddin dalam parti adalah lemah kerana hanya sebagai seorang yang dilantik," katanya.

Menurut mereka, Saifuddin tidak mempunyai legitimasi dan keabdahan serta mereka memahami bahawa ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu itu bersuara bagi pihak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam situasi seperti itu.

"Sekiranya Saifuddin jujur dan ikhlas tentang kedaulatan undang-undang dan perjuangan melawan rasuah, mengapa dia terus menerus diam membisu tentang kes rasuah yang melibatkan seorang tokoh ternama kepimpinan PH yang tiba-tiba digugurkan tatkala perbicaraan sedang berjalan lancar?

"Suatu yang amat mengecewakan dan menggusarkan SPRM dan masyarakat awam," kata mereka.

Menurut mereka, pemimpin dan ahli PKR harus merenung bahawa bukan hanya keputusan terbaru yang diambil oleh ketiga-tiga ahli Parlimen itu tetapi isu yang lebih serius adalah mengapa begitu ramai pemimpin tertinggi parti berkenaan dan ahli yang telah lama berkhidmat keluar parti.

"PKR di bawah pimpinan dan kerangka sekarang tidak lagi mampu memperjuangkan prinsip keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat.

"PKR telah tercabut daripada prinsip dan tidak lagi berada di landasan moral untuk memimpin," kata mereka.