NGO bantah ordinan berita tidak benar

Bantahan aman oleh Gabungan Kebebasan Bersuara di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur pada Ahad. -Foto Twitter CIJ Malaysia
Bantahan aman oleh Gabungan Kebebasan Bersuara di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur pada Ahad. -Foto Twitter CIJ Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Satu bantahan aman oleh sebuah gabungan organisasi masyarakat sivil diadakan di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur pada Ahad bagi membantah penguatkuasaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021.

Bantahan anjuran kumpulan Gabungan Kebebasan Bersuara yang dipengerusikan oleh Centre for Independent Journalism (CIJ) serta ARTICLE 19 Malaysia itu bertujuan menuntut semula ruang demokrasi dan prinsip hak asasi yang didakwa tercabar ekoran penguatkuasaan ordinan berkenaan.

CIJ Malaysia melalui ciapan di Twitter mereka pada Ahad memaklumkan mereka mahu mempertahankan hak berekspresi yang dijamin oleh Perlembagaan, serta untuk mencari, menerima serta berkongsi maklumat.

“Mana-mana undang-undang yang mengekang prinsip hak asasi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlulah, tanpa kompromi terlebih dahulu diluluskan oleh Dewan Rakyat, Dewan Negara dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum dilaksanakan.

“Oleh itu, kami menuntut pembukaan semula Parlimen, institusi yang bertanggungjawab untuk melulus dan meminda undang-undang Persekutuan dan memeriksa dasar kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Pada 11 Mac lalu, kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 bagi mengekang berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 dan proklamasi darurat.

Ordinan yang berkuatkuasa bermula Jumaat lalu itu memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba menyiar serta menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial.

Mengikut ordinan itu, berita tidak benar termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Artikel Berkaitan:

Antara peruntukan lain dalam ordinan itu ialah ia memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan berita tidak benar itu dipadamkan dan sekiranya gagal berbuat demikian, mahkamah boleh mengarahkan polis atau pihak berkuasa untuk mengambil 'langkah-langkah yang perlu' untuk menghapuskan berita itu.

Mengenai penguatkuasaannya pula, ordinan tersebut menyatakan, setiap kesalahan di bawahnya adalah kesalahan boleh tangkap dan seseorang pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh menangkap mana-mana orang yang dipercayai dengan munasabah melakukan atau cuba melakukan kesalahan di bawah ordinan ini.

Sementara itu, CIJ dalam ciapan yang sama turut juga bimbang terhadap kemungkinan ordinan tersebut disalahgunakan bagi menutup sebarang kritikan atau perbincangan yang mungkin dilihat menggugat kedudukan kerajaan sedia ada.

“Dalam konteks ini, ordinan darurat 'berita palsu' membenarkan tindakan yang berat dikenakan terhadap pelaku tanpa proses undang-undang yang adil dan sewajarnya. Ia juga menafikan perlindungan kepada 'whistleblower' atau individu yang berkongsi pandangan peribadi.

“Ia mengancam pertanyaan kritikal terhadap keberkesanan dasar kerajaan dan menafikan prinsip kebertanggungjawapan,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, penguatkuasaan ordinan itu juga didakwa akan mewujudkan suasana berbahaya untuk sebarang kegiatan kewartawanan di Malaysia bagi membincangkan secara terbuka mengenai perkara yang memberi kesan kepada rakyat.