Elak merana ketika hari tua

A
A
A

PENGUMUMAN Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberikan dividen sebanyak 5.20 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.90 peratus untuk Simpanan Shariah bagi tahun 2020 baru-baru ini adalah berita yang menggembirakan, khususnya kepada pencarum.

Apa tidaknya, dividen yang tinggi itu jauh lebih baik daripada dividen simpanan tetap yang ditawarkan oleh bank-bank tempatan.

Kadar dividen yang di-umumkan dana persaraan nasional itu melibatkan agihan sebanyak RM47.64 bilion merangkumi RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah dengan RM4.76 bilion.

Bagaimanapun, akibat penularan Covid-19, ramai pencarum terpaksa mengeluarkan wang simpanan daripada akaun satu untuk keperluan sara hidup mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, hampir 30 peratus daripada ahli KWSP telah mengeluarkan kesemua wang simpanan persaraan mereka itu dan cuma terpaksa tinggalkan RM100 dalam akaun sebagai syarat.

Sementara itu, sebanyak 60 peratus ahli pula dikatakan telah mengeluarkan simpanan wang daripada akaun dua untuk membeli rumah, pembayaran bil perubatan dan pendidikan.

Melihat pengeluaran wang simpanan secara ramai-ramai yang dilakukan pencarum KWSP, Lidah Pengarang Nan-yang Siang Pau berasakan situasi tersebut sebagai membimbangkan.

KWSP juga memandang serius perkara berkenaan apabila mensyaratkan mana-mana pencarum memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun didahulukan iaitu caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam akaun satu sehingga amaun pendahuluan digantikan semula.

Artikel Berkaitan:

“Hasil kajian yang dilakukan KWSP, terdapat kira-kira 71 peratus pencarum hanya mempunyai jumlah wang simpanan kurang daripada RM50,000. Keadaan ini menjadi lebih kritikal apabila pencarum dibenarkan mengurangkan kadar potongan simpanan mereka daripada 11 peratus kepada sembilan peratus.

“Pengenalan i-Sinar turut menyebabkan jumlah simpanan semakin berkurangan. Pencarum sebenarnya tidak dapat menguruskan wang simpanan dengan bijak apabila tertekan dengan masalah kewangan seperti yang dihadapi mereka ketika ini,” tulis akhbar itu lagi.

Akhbar itu berpendapat isu simpanan wang untuk perancangan hari tua memang kerap diperkatakan seluruh dunia.

“Memang tidak dinafikan, setiap orang daripada kita perlu bekerja keras ketika mampu supaya hidup lebih terjamin apabila usia semakin lanjut. Kita tidak akan tertekan ketika hari tua sekiranya mempunyai simpanan wang yang mencukupi.

“Oleh itu, KWSP seharusnya melancarkan lebih banyak kempen untuk meningkatkan kesedaran pencarum betapa pentingnya simpanan wang setelah bersara kelak.

“KWSP tidak patut terus melonggarkan syarat membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka,” ulas Nanyang Siang Pau.

Yang membimbangkan, kata akhbar itu lagi, pencarum yang kehabisan wang simpanan pastinya akan hidup merana ketika hari tua mereka.

Dilaporkan sebanyak 54 peratus atau seramai 137,000 daripada 245,000 ahli berumur 54 tahun pada tahun 2020 mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dan bakal menjalani kehidupan persaraan dengan pendapatan hanya RM200 sebulan bagi tempoh 20 tahun.

“Sekiranya berlaku situasi sedemikian, apakah golongan warga emas di negara kita akan terpaksa bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup mereka?

“Bagaimana pula dengan mereka yang terlantar sakit dan memerlukan wang untuk mendapatkan rawatan? Inilah antara isu yang perlu mendapat perhatian daripada semua pihak,” kata akhbar berkenaan.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian