10,000 anggota, sukarelawan APM bantu daftar suntikan vaksin

Mohd Redzuan dibantu Roslan (kanan) memasang pangkat dan penyerahan watikah kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Norhafifi Ismail pada Perasmian Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS), Jalan Mersing-Kluang hari ini. - Foto Bernama
Mohd Redzuan dibantu Roslan (kanan) memasang pangkat dan penyerahan watikah kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Norhafifi Ismail pada Perasmian Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS), Jalan Mersing-Kluang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggerakkan serta-merta kira-kira 10,000 anggota dan sukarelawannya untuk membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata fokus usaha tersebut ialah menyampaikan maklumat kepada masyarakat luar bandar berhubung program itu, membantu mereka berdaftar untuk suntikan vaksin serta membawa mereka ke pusat vaksinasi.

“Anggota atau sukarelawan ini boleh masuk ke kampung-kampung dalam masa menjalankan tugas, memberikan maklumat dan boleh menggunakan aplikasi yang ada di tangan mereka untuk membantu Orang Kurang Upaya, orang tua, orang yang jauh dari Pusat Kesihatan Daerah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (Pulapas), di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab.

Mohd Redzuan berkata, beliau yakin usaha menggerakkan anggota dan sukarelawan APM itu dapat meningkatkan kadar pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat, sekali gus memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencapai matlamatnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan juga alam usaha membangunkan Pusat Latihan Pertahanan Awam, masing-masing di Kinarut, Sabah dengan kos RM70 juta dan Demak Jaya, Kuching, Sarawak bernilai kira-kira RM50 juta.

Cadangan ini telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi untuk penilaian, katanya.

Mengenai Pulapas yang melibatkan kos keseluruhan RM46.8 juta, Mohd Redzuan berharap kemudahan itu dapat memenuhi objektif APM dalam melahirkan warga yang profesional selari dengan peranan angkatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Pembinaan Pulapas terbahagi kepada dua fasa dengan fasa pertama melibatkan dua hektar tanah dan kos sebanyak RM7.5 juta untuk pembinaan bangunan pentadbiran pada 2009.

"Pembinaan fasa dua pula bermula pada 2017 melibatkan kawasan tanah seluas enam hektar dan siap sepenuhnya pada 15 September lalu. Ia dilengkapi pelbagai infrastruktur dan fasiliti latihan meliputi kolam latihan (menyelamat di air), menara latihan, latihan ruang sempit, padang kawad dan blok latihan," katanya. - Bernama