Bukan salah kad kredit tapi salah pengguna

Ramai yang tidak menggunakan kad kredit dengan betul ketika berbelanja, menyebabkan mereka menanggung beban hutang. Gambar hiasan
Ramai yang tidak menggunakan kad kredit dengan betul ketika berbelanja, menyebabkan mereka menanggung beban hutang. Gambar hiasan
A
A
A

MENTERI Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melahirkan kebimbangan apabila 47 peratus belia Malaysia mempunyai hutang kad kredit yang tinggi berdasarkan data perangkaan Bank Negara.

Lebih daripada 3,400 individu berusia antara 20 dan 30 tahun telah mendapatkan kaunseling dan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Ramai yang tidak menggunakan kad kredit dengan betul ketika berbelanja, menyebabkan mereka menanggung beban hutang.

Laporan mencatatkan, 43.6 peratus daripada jumlah pemegang kad hanya dilangsaikan sekurang-kurangnya 5 peratus daripada baki tertunggak, manakala 12.8 peratus tidak dilangsaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Bank Negara mendedahkan hampir separuh pemegang kad kredit yang diisytiharkan bankrap adalah mereka berusia bawah 30 tahun.

Jika 20 atau 30 tahun dahulu, kad kredit mungkin dianggap satu kemewahan kerana memohonnya bukan mudah.

Ketika itu bank meletakkan syarat ketat dan tidak hairanlah ada antara mereka yang tiga kali membuat permohonan tapi masih ditolak.

Sekarang terlalu mudah. Banyak ejen kad kredit membuka kaunter di pusat beli belah dengan menawarkan pelbagai istimewa menarik untuk menarik orang ramai memohon.

Artikel Berkaitan:

Kad kredit pada hari ini bukan lagi lambang kemewahan tetapi satu kemestian. Penggunaannya semakin meluas terutama untuk pembelian secara dalam talian terutama ketika pandemik Covid-19.

Berbalik pada isu hutang kad kredit, pokok pangkalnya bukan salah kad kredit tetapi cara penggunaan. Perlu ada disiplin untuk membayar selepas menggunakannya.

Untuk mengelak kesan negatif penggunaan kad kredit, kerajaan mungkin boleh menggubal undang-undang lebih ketat bagi mengawal penggunaan kad kredit dalam kalangan belia.

Mungkin boleh menetapkan syarat mereka yang sudah bekerja lebih lima tahun sahaja diluluskan untuk memohon kad kredit.

Dalam tempoh lima tahun itu, biasanya mereka sudah matang dalam menguruskan kewangan mereka dengan penuh berhemah.