MARDI hasilkan baja tingkat keluaran padi

Che Abdullah ( kiri) ketika perasmian pelancaran Baja Realstrong N Bio Booster di Bendang Lipan, Mukim Lalang hari pada Khamis.
Che Abdullah ( kiri) ketika perasmian pelancaran Baja Realstrong N Bio Booster di Bendang Lipan, Mukim Lalang hari pada Khamis.
A
A
A

PASIR MAS - Baja Realstrong N Bio Booster, produk inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya membantu meningkatkan hasil padi pesawah dari 10 kepada 120 peratus semusim berbanding sebelum penggunaannya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, baja tersebut telah diuji keberkesanan apabila 22,000 pesawah di tujuh negeri di Semenanjung melibatkan keluasan 52,000 hektar kawasan sawah telah menggunakannya dan mula mendapat manfaat.

"Antara kelebihan baja Realstrong N Bio Booster ini adalah menambah bilangan anak padi yang banyak 23 hingga 35 per rumpun, batang padi yang tebal dan keras, sekali gus mengurangkan masalah padi rebah dan kerintangan yang baik terhadap penyakit dan perosak padi.

"Baja ini juga meningkatkan pengisian biji padi, bernas padi dan hasil, mengurangkan penggunaan baja subsidi sebanyak 10 hingga 30 peratus serta meningkatkan kesuburan tanah dengan peningkatan pH, organik tanah dan mikrob tanah bermanfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Baja Realstrong N Bio Booster di Bendang Lipan di sini pada Khamis.

Pada majlis tersebut, Che Abdullah turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada enam peserta terbaik Program Mentor Mentee Baja Realstrong N Bio Booster yang berjaya meningkatkan hasil padi daripada 26 peratus hingga 120 peratus.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, Realstrong N Bio Booster juga telah berjaya dijadikan sebagai input baja bio subsidi di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) untuk tahun 2020-2021.

"Pengaplikasian baja Realstrong N Bio Booster kepada kawasan seluas 52,000 hektar dengan melibatkan 22,000 orang petani merupakan impak paling besar dan signifikan terhadap pemindahan teknologi MARDI kepada golongan sasar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Penggunaan Realstrong N Bio Booster telah memberi kesan terhadap peningkatan hasil di dua jelapang padi utama iaitu sebanyak 162 peratus di Bendang Kuntan, Tumpat di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan 57.9 peratus di Sungai Besar, di bawah Kawasan Pembangunan Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

MARDI membangunkan teknologi Realstrong N Bio Booster dengan kerjasama All Cosmos Industries Sdn Bhd menggunakan strain bacillus subtilis, dihasilkan menggunakan medium kos efektif MARDI Growth Medium (MGM) dengan populasi mikrob sehingga 100 juta koloni per mililiter. - Bernama