Rakyat Myanmar mungkin lari ke negara jiran

Tunjuk perasaan dilakukan di Myanmar bagi membantah rampasan kuasa tentera Myanmar baru-baru ini. - Foto AP
Tunjuk perasaan dilakukan di Myanmar bagi membantah rampasan kuasa tentera Myanmar baru-baru ini. - Foto AP
A
A
A

BANGKOK - Thailand siap sedia berdepan kemungkinan rakyat Myanmar melarikan diri ke negara jiran susulan peningkatan keganasan akibat kekerasan pihak berkuasa untuk menghentikan protes antikudeta.

Jurucakap Kementerian Luar (MFA) Thailand, Tanee Sangrat berkata, agensi keselamatan dan pihak berkuasa wilayah di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar sudah siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Mereka telah mengambil langkah menyiapkan kemudahan yang perlu. Setakat ini, tiada orang yang menyeberangi sempadan untuk mencari suaka di Thailand,” katanya pada sidang media mingguan kementerian di sini pada Khamis.

Media tempatan melaporkan pihak berkuasa wilayah Chiang Rai, utara Thailand telah memintas sekumpulan lapan warga Myanmar empat lelaki termasuk dua sami dan empat wanita - menyeberang dari bandar sempadan Myanmar, Tachileik ke Thailand.

Tanee berkata, kumpulan itu didapati tidak melarikan diri dari Myanmar kerana keadaan politik.

Sementara itu, MFA berkata, sebagai negara jiran terdekat yang berkongsi sempadan, Thailand mengikuti rapat perkembangan di Myanmar, prihatin dan sedih dengan korban nyawa dan penderitaan rakyat.

Mengenai situasi di Myanmar, MFA berkata Thailand menyokong kenyataan Pengerusi ASEAN, Brunei Darussalam, yang meminta semua pihak di Myanmar untuk mengelak mengambil langkah yang agresif.

"Kami menyeru ketegangan ditamatkan dan tahanan dibebaskan. Kami juga mendesak semua pihak yang terlibat mencari jalan penyelesaian secara aman untuk negara dan rakyat Myanmar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Thailand turut menyokong kesediaan ASEAN membantu Myanmar.

Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin kanan Liga Demokratik Kebangsaan (NLD).

Junta mengisytiharkan perintah darurat selama setahun dan berjanji "mengambil tindakan" terhadap tuduhan penipuan undi dalam pilihan raya umum 8 November, yang dimenangi NLD.

Protes jalanan bertukar ganas yang menyaksikan pada 4 Mac lalu seramai 38 orang terbunuh. - Bernama