Gagal penuhi pesanan pelanggan, syarikat kasut terkemuka diserbu KPDNHEP

KPDNHEP
KPDNHEP
A
A
A

PETALING JAYA - Gara-gara gagal memenuhi pesanan pelanggan akibat peningkatan tempahan, sebuah syarikat kasut terkenal diserbu sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Damansara Perdana pada Rabu.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan jam 11 malam itu dilakukan KPDNHEP Cawangan Petaling Jaya di premis syarikat berkenaan.

"Serbuan dilakukan hasil aduan pelanggan yang tidak berpuas hati ekoran tidak menerima produk yang dipesan daripada syarikat berkenaan pada tempoh yang lama setelah bayaran dibuat.

"Pihak syarikat berkenaan didapati gagal membuat penghantaran tempahan yang telah diterima dan memberi maklum balas kepada pembeli berkaitan kelewatan penerimaan barang yang dibeli," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, ketika serbuan pasukannya telah bertemu dengan seorang lelaki disyaki wakil syarikat berkenaan.

"Semasa serbuan, pasukan telah menyita beberapa dokumen penting berkaitan dengan pelanggaran kesalahan yang disyaki dilakukan oleh syarikat terbabit.

"Kes disiasat di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 iaitu pengiklanan umpanan, iklan dengan niat untuk tidak mengadakannya," katanya.

Katanya, amaran dan peringatan kepada mana-mana individu atau mana-mana peniaga untuk sentiasa memastikan penawaran sesuatu barangan atau perkhidmatan sama ada secara dalam talian mematuhi undang-undang kepenggunaan yang termaktub dan bertanggungjawab atas tawaran yang diberikan kepada pelanggan.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang 2021, sebanyak 60 kes telah dihasilkan oleh KPDNHEP Petaling Jaya dan sebanyak RM7,950 kompaun serta RM85,000 denda telah dikenakan ke atas peniaga atas pelbagai kesalahan," katanya.