Pengecualian, diskaun sewa tanah, bangunan Persekutuan dilanjutkan

Shamsul Anuar Nasarah. - Foto Bernama
Shamsul Anuar Nasarah. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan inisiatif pengecualian dan pemberian diskaun 50 peratus bayaran sewa kepada penyewa tanah Persekutuan dan bangunan Persekutuan, demikian menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau dalam kenyataan pada Khamis berkata, pelanjutan inisiatif itu berteraskan matlamat yang digariskan kerajaan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bagi menyokong kelangsungan perniagaan.

Mengenai inisiatif kepada penyewa tanah Persekutuan, Shamsul Anuar berkata, pelanjutan pemberian inisiatif pengecualian bayaran sewaan dan diskaun 50 peratus itu membabitkan bayaran sewaan bagi tempoh empat bulan bermula 1 September 2020 hingga 31 Disember 2020 kepada seramai 259 penyewa yang diluluskan sepanjang Mac hingga Ogos tahun lepas.

"Pemberian diskaun 50 peratus bayaran sewa bagi tempoh enam bulan mulai 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021 kepada semua penyewa," katanya.

Bagi urusan penyewaan ruang dan premis di bangunan Persekutuan pula, Shamsul Anuar berkata, pelanjutan pemberian inisiatif pengecualian bayaran sewaan bagi tempoh empat bulan mulai 1 September 2020 hingga 31 Disember 2020 kepada penyewa yang telah diluluskan sepanjang Mac hingga Ogos 2020.

"Pemberian diskaun 50 peratus bayaran sewa bagi tempoh enam bulan mulai 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021 kepada semua penyewa," katanya.

Shamsul Anuar berkata, penyewa premis milik kerajaan Persekutuan seperti taska, kafeteria dan kedai serbaneka yang beroperasi hendaklah merujuk dengan pihak Kementerian Jabatan Pengguna (KJP) masing-masing bagi pelaksanaan keputusan itu.

"Inisiatif pengecualian dan diskaun bayaran sewa ini diberikan untuk membantu penyewa tanah dan premis kerajaan Persekutuan agar dapat menyusun semula strategi perniagaan seterusnya meningkatkan keupayaan dan kestabilan perniagaan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Mac tahun lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berkata, premis milik kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria diberi pengecualian sewaan selama enam bulan, termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun kerajaan Persekutuan. - Bernama