Lelaki tidak perlu takut jika wanita jadi PM

Penganalisis Politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh.- FOTO ROSLI TALIB
Penganalisis Politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh.- FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Lelaki tidak seharusnya takut sekiranya negara ini mempunyai perdana menteri wanita yang pertama.

Penganalisis Politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh berkata, jika negara ini mempunyai perdana menteri wanita pertama, ianya tidak bermakna mereka telah ditakluki oleh wanita tetapi adalah untuk meraikan demokrasi.

“Kita dapat lihat di negara lain juga mempunyai perdana menteri atau presiden wanita,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-237 bertajuk ‘Perdana Menteri Wanita Pertama Malaysia: Realiti Atau Fantasi’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Sharifah Syahirah berkata, setelah 64 tahun merdeka, beliau melihat negara ini juga sedang menuju ke arah mempunyai perdana menteri wanita.

Dari kiri, Ismail, Fadwah, Sharifah Syahirah dan Kasthuri dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-237 yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa. - FOTO ROSLI TALIB
Dari kiri, Ismail, Fadwah, Sharifah Syahirah dan Kasthuri dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-237 yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa. - FOTO ROSLI TALIB

“Apa yang sekarang ini berlaku, sememangnya kita ada peluang tapi terdapat (masalah dalam) budaya patriarki yang mengagungkan kepimpinan bapa berbanding wanita.

“Ini bukan salah sesiapa tapi disebabkan amalan budaya dahulu yang dibawa hingga sekarang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sharifah Syahirah turut mengulas mengenai pemerintahan wanita di kebanyakan negara yang pendek.

“Kalau kita tengok dari segi pemerintahan, kebanyakannya bukan disebabkan jantina tetapi disebabkan situasi politik yang ada. Ia tidak semuanya mengenai jantina.

“Contohnya, apabila kita mempercayai bahawa wanita tidak sesuai menjadi perdana menteri, ini sebenarnya kita masih terpengaruh dan dijajah oleh pemikiran dahulu.

“Atau mungkin kerana lebih dimomokkan dengan budaya menyebabkan kita percaya wanita kurang dari segi kepimpinan,” katanya.