Habitat bunga Pakma di Tasik Kenyir musnah

Kawasan habitat Bunga Pakma di Tasik Kenyir yang mengalami kemusnahan. - Foto: MNS Terengganu.
Kawasan habitat Bunga Pakma di Tasik Kenyir yang mengalami kemusnahan. - Foto: MNS Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Terengganu mengesan kemusnahan sebuah kawasan habitat Bunga Pakma atau Rafflesia cantleyi di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Pengerusi MNS Terengganu, Wong Chee Ho berkata, pihaknya menerima laporan pertama mengenai kerosakan habitat bunga Pakma di Sungai Buweh pada 3 Mac lalu dan membuat lawatan ke kawasan itu dua hari kemudian selepas perjalanan rentas daerah dibenarkan.

"Kita mendapati kerosakan yang berlaku adalah teruk dan sukar untuk dipulihkan.

"Kawasan yang dulunya hutan semula jadi bertukar menjadi lapang dan tinggal hanya satu papan tanda rosak menunjukkan tapak tersebut pernah menjadi habitat kepada bunga Pakma," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Rafflesia yang juga dikenali sebagai bunga Pakma adalah bunga parasitik yang besar, jarang ditemui serta merupakan mercu tanda hutan tropika.

Setakat ini, ia dikelaskan sebagai tumbuhan terancam (vulnerable) dan hanya boleh dijumpai di lima buah negara di Asia Tenggara. Di Semenanjung Malaysia, bunga Pakma ditemui di empat negeri sahaja, termasuk Terengganu.

Peluang menyaksikan Bunga Pakma berkembang mekar merupakan kesempatan sekali seumur hidup untuk ramai orang kerana tunasnya memerlukan masa hampir setahun untuk membesar, tetapi bunganya hanya kembang mekar beberapa hari sebelum layu.

Menurut Chee Ho, terdapat pembaikan ringan satu jambatan kecil sepanjang lima meter yang melintasi saliran pengairan di laluan Sungai Buweh namun projek itu dilihat tidak setimpal dengan kemusnahan yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Kami merasa curiga, tiada sebarang papan tanda didirikan untuk menunjukkan pihak yang terlibat dengan aktiviti ini. Walau apa pun alasan diberi, adalah tidak logik kawasan hutan yang berekar-ekar dalam habitat bunga Pakma dimusnahkan semata-mata untuk membaiki sebuah jambatan kecil.

"Pelancong datang ke Tasik Kenyir untuk melihat alam semula jadi, bukan untuk melihat jalan raya," katanya.

Chee Ho berkata, kawasan hutan Kenyir di sekitar laluan Sungai Buweh disifatkan sebagai habitat bertuah kerana merekodkan Rafflesia yang berkembang di situ.

Katanya, kawasan jalan yang sempit tanpa lalu lintas membolehkan pelawat melihat pelbagai unggas hutan bersama spesis unggas besar lain seperti burung enggang dan burung enggang tebang mentua (helmeted hornbill) yang merupakan spesies terancam kritikal.

Sehubungan itu kata Chee Ho, MNS Terengganu memohon pihak berkenaan menyiasat kejadian kemusnahan tapak bunga Pakma di laluan Sungai Buweh supaya kejadian sama tidak berulang di kawasan lain.

"MNS Terengganu mempunyai kerjasama baik dengan dua buah universiti yang menjalankan penyelidikan di Kenyir. Kita juga sentiasa memberi input kepada pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri mengenai pembangunan industri ekopelancongan di Kenyir.

"Jadi kami yakin semua pihak yang berkepentingan merasa kecewa dan berang dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku ini," katanya.