X

Kindly register in order to view this article
!

MH370: Adakah pencarian baharu akan sembuhkan luka lama?

A
A

IPOH - Tujuh tahun telah berlalu selepas pesawat malang MH370 hilang daripada radar namun misteri Boeing 777 masih terus berlegar. Perlukah pencarian pesawat baharu dijalankan untuk menoktahkan jawapan yang amat ditunggu-tunggu oleh waris terdekat 239 mangsa?

Menurut pakar penerbangan, pencarian baharu harus dilakukan hanya jika ada petunjuk baharu, agar ia tidak memberi harapan palsu kepada waris terdekat dan pihak lain yang berminat.

Juruterbang Ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL),Profesor Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, pendekatan baharu diperlukan untuk meningkatkan pencarian dan kerajaan harus menggunakan metodologi yang boleh dipercayai dan tersusun.

“Ia adalah langkah yang baik dan berdaya maju oleh Kerajaan Malaysia yang menawarkan pilihan terbuka berhubung pencarian itu. Kerjasama dengan Australia atau China atau pihak lain adalah dialu-alukan kerana ia adalah kekuatan pengganda yang akan menambah lebih ramai pakar dalam pencarian ini.

“Aspek lain yang harus diambil kira adalah harapan yang lebih tinggi apabila pencarian ini diteruskan dan dengan itu kita perlu menguruskan antisipasi waris terdekat dan pihak lain yang berminat,” katanya pada Isnin.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dalam perutusan video pendek sempena ulang tahun ketujuh insiden itu pada Ahad berkata, kerajaan Malaysia bersedia bekerjasama dengan Australia dan China untuk menyelesaikan misteri di sebalik kehilangan pesawat itu.

Pada Januari 2018, syarikat eksplorasi swasta Ocean Infinity melancarkan operasi pencarian Boeing 999 itu, tetapi ia digantung pada Mei tahun yang sama selepas meliputi kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Seorang lagi pakar, bekas Pegawai Penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, sebarang usaha yang dirancang perlu berdasarkan bukti baharu yang mungkin ditemui dan bukan atas spekulasi atau teori yang dibuat oleh mana-mana pihak.

“Kerajaan Malaysia, China dan Australia telah berusaha mencari pesawat yang hilang itu, bahkan melibatkan entiti swasta untuk menggerakkan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, selain kawasan pencarian sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Geostrategis, Azmi Hassan berkata, cadangan untuk menjalinkan kerjasama baharu berkaitan operasi pencarian ini perlu diadakan dengan lebih berhati-hati bagi mengelakkan mana-mana pihak yang mencuri peluang atau menghidu kesempatan dalam aspek kewangan atau perbelanjaan.

“Keterbukaan kerajaan untuk menjalin kerjasama amat dialu-alukan demi mencari penamat misteri kehilangan pesawat termasuk mencari bangkai dan kotak hitam. Namun cadangan ini perlu berhati-hati. Tujuan utama adalah menyelesaikan perkara ini dan mencari punca sebenar kejadian,” katanya.

Sementara itu, Grace Subathirai Nathan, yang ibunya Anne Daisy antara penumpang malang dalam MH370 berkata, adalah penting untuk menentukan apakah yang sebenarnya berlaku untuk menghalang kejadian sama berulang.

"Ia juga mengenai akauntabiliti dan menetapkan standard yang betul untuk menangani kejadian serupa pada masa depan," katanya.

Adik ipar kepada ketua pramugari penerbangan itu, Goh Sock Lay, yang enggan dikenali ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tawas di sini berkata, terpulang kepada kerajaan untuk menentukan apakah yang terbaik bagi waris terdekat mengetahui perkara sebenar dan menyelesaikan misteri itu.

Pada malam 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China hilang daripada imbasan radar kira-kira dua jam setelah berlepas.

Berikutan itu, operasi pencarian besar-besaran melibatkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi tetapi gagal menjejaki pesawat mahupun serpihan pesawat itu. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!