Penganggur dipenjara lima bulan simpan telefon bimbit curi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akibat menyimpan telefon bimbit curi milik seorang lelaki, seorang penganggur dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Umzarul An Nur Umar menjatuhkan hukuman itu ke atas P. Ganesan, 30, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 18 September 2018.

Lelaki itu didakwa dengan curangnya menyimpan harta curi itu yang bernilai RM3,000 milik Mohd Zain Ithnin, 30, yang mana tertuduh tahu bahawa barang itu adalah harta curi.

Dia melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Semilang, Taman Tenaga Cheras di sini pada 12.30 tengah malam, 18 September 2018 mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ruzanna Razali memohon hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Di Mahkamah Majistret berasingan, pengawal keselamatan, M. Ashok Kumar, 36, didenda maksimum RM500 selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan merusuh dengan menghentak meja dan membaling pen semasa berada di balai polis.

Majistret Siti Radziah Kamarudin juga memerintahkan Ashok Kumar​​​ menjalani hukuman penjara lima hari sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Dia melakukan kesalahan itu di dalam Balai Polis Masjid India، Jalan Masjid India Dang Wangi di sini pada 7.15 malam, 7 Feb lepas mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau dengan kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga. - Bernama